Khamis, 20 Oktober 2016

Meminggirkan Orang Sakai sama seperti pinggir Melayu

Masyarakat Orang Asli Sakai membantah pengezonan semula Paya Indah Wetlands dan keputusan mahkamah untuk menolak tuntutan mereka.
orang-asli-sakai-1
KUALA LUMPUR: Meminggirkan Orang Sakai sama seperti melakukan perkara serupa terhadap orang Melayu, kata ketua masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Pulau Kempas.
Dewi Malam, salah seorang daripada 4,000 masyarakat Orang Asli di Mukim Tanjong Dua Belas di Kuala Langat, mengetuai bantahan terhadap pengezonan semula Paya Indah Wetlands oleh kerajaan negeri Selangor.
“Orang Asli ialah Sakai dan Melayu, orang Melayu sejati,” katanya pada sidang akhbar semalam.
“Jika rakyat Malaysia tidak boleh faham yang Sakai ialah Orang Asli, jadi biar mereka tahu yang Orang Sakai ialah Melayu.
“Jika tanah ini semua tidak ada lagi, Melayu sendiri yang akan rugi. Jika orang kata hanya Orang Asli dipinggirkan, tak apalah. Tetapi mereka pinggir juga orang Melayu sendiri,” katanya.
Dewi yang ditemani wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pada sidang media itu, berkata demikian ketika mengulas kegagalan usaha masyarakatnya untuk mendapatkan semula tanah 17,900 ekar.
Usaha bermula pada 2011 itu berakhir tahun ini selepas Mahkamah Rayuan menolak tuntutan Dewi dan abangnya, Jafrin kerana mereka dikatakan tidak mempunyai locus standi.
Defendan dalam kes itu ialah kerajaan Selangor, Pejabat Daerah Kuala Langat, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, pengarah Tanah dan Galian Selangor serta beberapa pihak berkuasa tempatan.
Mahkamah tidak menerima bukti Dewi yang dia ialah penduduk asal tanah itu.
“Hakim kata Orang Asli tidak boleh buat tuntutan dengan mengambil kira status Sakai, yang Akta 134, Akta Orang Asli tidak boleh diguna pakai untuk tuntutan seperti itu.
“Saya sangat tidak berpuas hati. Lihat cap jari Pak Pelangi, Batin Dua. Ada tulis di sini dia wakil Sakai. Tujuh keturunan sudah tinggal di sini. Moyang kepada moyang saya Mohamad, moyang saya Pak Pelangi, datuk saya Gercang, bapa saya Malam, saya sendiri, anak lelaki saya dan cucu saya. Semua ini 7 keturunan,” katanya.

Dewi berkata, pengezonan semula itu juga menjejaskan Paya Indah dan kawasan utara hutan simpan Kuala Langat yang termasuk Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.
Ketua SAMM Badrul Hisham Shaharin memberitahu wartawan yang jentera berat sudah mula memasuki kawasan itu.
“Mereka bawa masuk jentera, melombong batu dan tanah merah di kawasan itu. Mereka juga beri tanah rizab kepada Gamuda, mengezonkan ia semula menjadi kawasan pembangunan campuran,” katanya.
Beliau berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA