Rabu, 26 Oktober 2016

Melayu mesti berani bebas dari genggaman Umno, kata Khalid Samad


Khalid Abdul Samad Khalid Abdul Samad Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dan terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu mempertahankan kepentingan dan hak Melayu dalam gabungan pembangkang, kata  Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Beliau berkata, masyarakat Melayu perlu berani berubah membebaskan diri daripada genggaman Umno kerana pembangkang pada masa ini telah mempunyai barisan kepimpinan Melayu yang berkaliber.
“Orang seperti Mohamad Sabu (Presiden Amanah), seorang yang terbukti istiqamahnya memperjuangan kepentingan rakyat. Turut juga bersama ialah dua bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia iaitu Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.
“Begitu juga cendekiawan dan ilmuan Islam seperti Dr Siddiq Fadhil dan Dr Mohd Nur Manuti dan ramai lagi,” ujarnya dipetik dari artikel beliau, ‘Apa lagi Melayu mahu?’ dalam akhbar Amanah Bil 22, 23 – 29 Oktober 2016.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut menyenaraikan pemimpin lain iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Mahathir, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salahuddin Ayub, Azmin Ali, Dr Siti Mariah, Nurul Izzah Anwar, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr Hatta Ramli.
Menurut Khalid, senarai pemimpin berkenaan yang disifatkan tidak kurang hebatnya berbanding pimpinan Umno wajar memberanikan Melayu untuk berubah tambahan dengan situasi kebobrokan mutakhir ini.
“Kerajaan tidak akan berjaya ditukarkan tanpa berlakunya anjakan sokongan Melayu dari Umno kepada pihak yang lain sedangkan Melayu tetap bersama Umno-BN.
“Apa lagi Melayu mahu sebelum berani berubah? Apa alasan yang munasabah untuk Melayu terus ketakutan sedangkan keperluan untuk perubahan telah Allah sediakan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, perubahan tidak akan berlaku selagi sokongan Melayu terhadap Umno tidak berubah sebaliknya Umno-BN akan terus memerintah dan terus merompak harta rakyat.
“Keadaan akan menjadi semakin sukar dan negara akan hanya bertambah dalam hutangnya. Pendapatan akan semakin mengecil dan akhirnya rakyat akan semakin terbeban.

“Kebanyakan rakyat yang terbeban itu adalah rakyat Melayu,” tegasnya lagi sambil berpendapat sokongan Melayu terhadap parti-parti pembangkang hanya sekitar 40 hingga 45 peratus seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 lalu.
Huraian lanjut Khalid berkenaan isu tersebut boleh didapati dalam Akhbar Amanah Bil. 22 (23-29 Oktober) di pasaran.
Turut dimuatkan artikel Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan Bajet 2017 dibentangkan Najib Razak serta tulisan peguam Hanipa Maidin yang juga Ahli Parlimen Sepang.
Pembaca juga boleh mengikuti pandangan kolumnis Adam Adli, Abdul Shukur Harun, Lim Hong Siang, Dinsman, Wan Ji Wan Hussin, Fitri Asmuni, Zairil Khir Johari selain ruangan tetap Kanun, Kreatif, Kampus dan Anak Muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA