Rabu, 19 Oktober 2016

Matlamat Warisan dapatkan autonomi rakyat Sabah, kata Shafie

Presidennya berkata parti itu akan mengutamakan autonomi untuk rakyat Sabah kerana itu yang rakyat mahukan, iaitu perubahan.
shafie-afdal
KUALA LUMPUR: Autonomi untuk rakyat Sabah menjadi tumpuan utama Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Datuk Seri Shafie Apdal.
Presiden Warisan itu berkata pembangunan di Sabah di bawah pentadbiran BN pada masa ini jelas tidak seimbang.
“Sudah tentu (akan utamakan autonomi untuk rakyat Sabah). Itu apa yang rakyat Sabah mahukan, iaitu perubahan.
“Ketika ini pembangunan tidak seimbang. Ada sekolah yang masih guna kayu, tidak ada akses Internet,” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 17 Oktober lalu Warisan ditubuhkan dan Shafie bertekad untuk menyatupadukan semua kaum di negeri itu.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata situasi kini menunjukkan rakyat Sabah terutama di kawasan Parlimennya sukar melakukan rutin harian.
“Saya berada dalam kerajaan selama 30 tahun. Saya tahu apa yang berlaku, keluar dan masuk. Nak tangkap ikan di Semporna pun kita (rakyat) kena minta lesen di Kuala Lumpur,” katanya.
Pada 4 Julai, Shafie yang merupakan bekas naib presiden Umno mengumumkan keluar parti Melayu itu selepas keahliannya digantung pada 24 Jun kerana dituduh bersekongkol dengan pembangkang.
Shafie bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada Kabinet tahun lalu selepas mereka mempersoalkan hutang ditanggung 1MDB.
Beliau sebelum ini enggan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan Muhyiddin dan dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA