Jumaat, 28 Oktober 2016

Maria kata KPN mengarut dakwa Bersih sengaja langgar peraturan

Mungkin Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak tahu Bersih 2.0 sudah menghantar notis 10 hari kepada polis hari ini
Maria Chin, IGP, Khalid Abu Bakar, Bersih 5, Bersih 2.0PETALING JAYA: Dakwaan Ketua Polis Negara mengatakan penganjur himpunan Bersih 5 sengaja tidak mahu mengikut peraturan adalah mengarut dan melulu.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menyangkal tuduhan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa Bersih sengaja mahu polis bertindak ke atas mereka untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa.
“Saya rasa beliau mengeluarkan kenyataan tanpa mengetahui kita sudah pun menghantar notis 10 hari kepada polis hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Hari ini, Bersih menghantar notis penganjuran himpunan Bersih 5 yang bakal diadakan 19 November ini ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Brickfields.
“Malah polis Brickfields sudah menghubungi kami memaklumkan sudah menerima notis itu dan meminta saya berjumpa mereka,” katanya lagi.
Menurut Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perlu menghantar notis permohonan kepada polis 10 hari sebelum himpunan dan mendapatkan kebenaran pemilik lokasi.
Berhubung kebenaran pemilik lokasi, Maria berkata seperti himpunan Bersih yang lalu, beliau tidak melihat sebarang isu berkaitan perkara itu.
“Pada Bersih 4, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak benarkan kita masuk kawasan Dataran Merdeka, jadi kita tidak masuk,” katanya lagi.

Khalid berkata Bersih sengaja mahu polis mengambil tindakan untuk menunjukkan masyarakat antarabangsa yang pihak berkuasa menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun.
Khalid menambah Bersih memang mahu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menggunakan meriam air ketika himpunan itu nanti.
Maria yakin peserta Bersih akan berkelakuan baik dan tidak bertindak melampau.
Namun beliau mengingatkan Gerakan Merah yang diketuai Datuk Jamal Yunus, yang dijangka mengadakan perhimpunan pada hari sama, agar tidak menggunakan taktik ancaman dan keganasan.
“Dia juga berhak untuk berhimpun. Tetapi saya harap polis akan menahan dia jika menggunakan keganasan. Itu bukan budaya Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA