Khamis, 27 Oktober 2016

Maria: Kami akan beri notis Bersih 5 kepada polis

Maria berkata, notis untuk perhimpunan Bersih sebelum ini ditolak polis dan himpunan Bersih 5 akan diadakan di Dataran Merdeka.
maria-chin1_2
PETALING JAYA: Penganjur himpunan Bersih 5 pada bulan depan akan menghantar notis kepada polis tidak lama lagi, kata Maria Chin Abdullah.
Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata demikian sebagai membalas amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk tidak membenarkan perhimpunan Bersih 5 diteruskan, kecuali penganjur menghantar notis sebelum 19 November ini.
Maria berkata, bertentangan dengan kenyataan Khalid, Bersih 2.0 sentiasa mengemukakan notis untuk perhimpunan dianjurkan sebelum ini, termasuk Bersih 2, Bersih 3, Bersih 4, tetapi semua ditolak polis.
“Kami sentiasa beri notis, tetapi mereka selalu menolak notis kami. Untuk Bersih 4, kami serah surat kepada ketua polis negara sendiri dan dia adalah orang pertama kami tulis surat itu.
“Khalid mengarahkan kami ke Balai Polis Dang Wangi dan kemudian beliau kata kami tidak beri notis,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, sepanjang masa itu, Bersih 2.0 mengadakan mesyuarat sebanyak 2 kali dengan ketua polis daerah Dang Wangi, tetapi notis mereka tetap ditolak.
“Sekarang, beliau (Khalid) melakukan perkara sama dengan mengatakan kami tidak memberi notis. Saya rasa itu tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab untuk seorang ketua polis negara.”

Sementara itu, Maria berkata, lebih banyak butiran mengenai himpunan Bersih 5 akan didedahkan pada sidang media minggu depan.
Katanya, himpunan terbaharu itu akan diadakan di Dataran Merdeka dan pemantau pilihan raya itu menyasarkan sumbangan RM500,000 bagi membiayai aktiviti Bersih 5 dan perhimpunan lain pada masa depan.
Beliau berkata, Bersih 2.0 memerlukan RM1.5 juta untuk menganjurkan aktiviti pada 2017 dan 2018, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Hari ini, Khalid dilaporkan berkata, walaupun Akta Perhimpunan Aman membenarkan perhimpunan berlangsung dan rakyat berhimpun untuk membantah, undang-undang mesti dipatuhi dan notis awal diperlukan bagi membolehkan polis membuat persediaan menangani sebarang kejadian tidak diingini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA