Jumaat, 21 Oktober 2016

Mampukah Najib rumus ‘bajet pilihan raya’?

Tidak perlu seorang pundit politik untuk membuat telahan tentang bila pilihanraya umum ke-14 akan diadakan. Ramai meramalkan pertengahan tahun 2017.
Maka apakah Belanjawan 2017 akan dibentang menteri kewangan hari ini di Dewan Rakyat sebuah bajet pilihan raya yang amat mesra-rakyat atau ‘bajet populist' secara mudahnya?
Sepakat di kalangan ahli ekonomi, Najib berdepan dengan tahun yang mencabar kalau tidak lebih kritikal berbanding 2016 ini.
Ini bajet pertama Najib yang mesti berpada dengan dividen yang lebih rendah dari Petronas dan hasil cukai yang terjejas akibat kejatuhan minyak mentah dunia.
Juga sebahagian besar badan-badan korporat melaporkan keuntungan yang merosot. Contohnya keuntungan bersih Maybank dan RHB dalam suku kedua 2016 jatuh sebanyak 26.8 peratus dan 37.36 peratus walaupun pendapatan meningkat.
Benar seperti Najib dakwa GST menyelamatkan ekonomi Malaysia! Ramalan pungutan GST sebanyak RM39bilion, seandainya dicapai akan beri keselesaan kerajaan persekutuan.
Tetapi rakyat juga tahu semasa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mentadbir dulu, tidak ada pun GST.
Rakyat pun tidak susah sangat semacam hari ini, terbeban dengan GST dan kos saraan hidup tinggi.
Tidak seperti pertumbuhan 4 peratus KDNK dalam suku kedua 2016, baru-baru ini. Memang tidak berapa adil untuk membuat perbandingan seperti itu. Namun berkebetulan 4 peratus adalah terendah dalam tujuh tahun kebelakangan ini.
Ramalan seluruh tahun 2016 pun hanya 4.2 peratus.
Krisis ekonomi
Ada beberapa trend perumusan bajet oleh Najib sejak 2009 dia jadi perdana menteri.
Cuba kita perhatikan beberapa contoh sahaja.
Nisbah perbelanjaan mengurus atau Opex, melonjak ke paras hampir 99 peratus dari pendapatan negara dalam tahun 2013 dan 2014.
Najib bukan sahaja mengekalkan Opex yang tinggi sejak zaman Abdullah bahkan terus meningkatkannya ke paras 99 peratus pendapatan negara.
Apa erti semua ini? Opex yang tinggi bermakna kerajaan menggunakan dana yang banyak untuk mengurus dan baki yang sedikit untuk menjana pembangunan.
Bahkan tahun-tahun mutakhir ini, semua pembangunan adalah dibiayai dengan secara berhutang atau 'debt-funded'.
Ini membawa kita kepada isu hutang kerajaan federal. Pada suku kedua 2016 (2Q2016), hutang kerajaan pusat ialah RM655.75 bilion.
Servis bunga hutang ini sahaja ialah sebanyak RM26.64 bilion setahun atau RM2.22 bilion sebulan atau RM73 juta sehari. 12 peratus dari pendapatan negara digunakan untuk melunaskan hutang setiap tahun!
Kembali kepada senario makroekonomi di peringkat global, tahun 2016 adalah sangat mencemaskan. Untuk ingatan, Bajet Pakatan Harapan (PH) 'Mengelakkan Krisis Ekonomi'.
Unjuran 2017, senario ekonomi global akan terus suram dan ekonomi rakan-rakan dagang utama kekal perlahan.
Sebaliknya kesan risiko dari luaran mungkin sahaja bolih dicetuskan BREXIT, kenaikan kadar faedah of Federal Reserve Amerika dan ekonomi negara Utara Asia (China) yang kekal perlahan.
Memandang ketidaktentuan ekonomi global ini dan cabaran dalaman, Pakatan harapan memilih untuk mengangkat tema 'Menentukan Masa Depan'.
Najib tiada pilihan
Kami Pakatan Harapan tegaskan kepada Najib bahawa beliau tidak punya pilihan kecuali mestilah bertanggungjawab dan berhemah (pruden) dalam perumusan Belanjawaan 2017 ini.
Ada beberapa perkara yang kami cadangkan sebagai penting dan kritikal diambil kira pihak Putrajaya. Potongan tidak wajar dibuat ke atas sektor penting seumpama pendidikan dan kesihatan.
Antara unjuran fiskal yang perlu dpotong ialah di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ia telah meningkat dari RM1.15 bilion pada tahun 1986 dan RM2.39 bilion pada 1996 serta RM5.839 bilion pada 2006.
Pada 2016 peruntukan JPM ialah sebanyak RM20.3 bilion!
Pemotongan wajar dibuat ke paras RM10 bilion bagi mengurangkan 'kos melepas' atau 'opportunity cost' untuk peruntukan dibuat dalam sektor penting lain.
Najib mesti serius untuk menutup lubang-lubang kebocoran dan pembaziran. Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara saban tahun, 20 peratus hingga 25 peratus tiris setiap tahun.
Bagi mencapai maksud pembangunan yang adil dan saksama yang dikecapai olih semua terutama golongan berpendapatan rendah dari golongan Bottom-40 atau B-40, penekanan kepada perumahan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan sebagainya.

Sementara BRIM pasti akan diteruskan dan mungkin dinaikkan, Najib mesti akui BRIM tidak boleh dijadikan satu langkah bantuan subsidi jangka-panjang.
Peluang sama-rata dalam pekerjaan dan keusahawanan mesti dijana olih kerajaan. Itu saranan cajet Pakatan Harapan.
Negeri paling miskin
Penekanan membuat perbelanjaan di negeri negeri yang paling miskin juga seperti Sabah, Kelantan, Sarawak, Kedah dan Terengganu dengan projek-projek pembangunan adalah mustahak bagi merancakkan pertumbuhan sekaligus peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat khasnya kelompok B-40 dan M-4.
Seperkara lagi Pakatan Harapan mahu melakukan pengurangan pekerja asing secara beransur-ansur. Kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing.
Jelasnya, Najib tidak berpeluang untuk bermewah dengan pelbagai pemberian atau 'goodies' pilihanraya kecuali BRIM.
Najib juga tidak boleh bermain dengan kenaikan 'cukai' (individu, korporat atau GST dan lain2) sebab takut mencetuskan marah rakyat. Turun cukai pula bermakna hilang pendapatan.
Sementara itu Najib sedar 1MDB kekal sebagai lambang atau 'mercu-tanda' tadbir-urus niaga yang amat tempang, curang, tidak telus bahkan sarat dengan rasuah, salah-guna dan pengsolapan.
Kalau benar-benar Najib bercita-cita membangunkan negara dengan bingkai Maqasid Syariah seperti Bajet Pakatan Harapan, beliau mesti komited untuk melepasi tahap 'retorik' dan masuk ke alam serta daerah 'amal dan perlaksanaan'.

Dr Dzulkefly Ahmad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA