Khamis, 20 Oktober 2016

Lepas ugutan bunuh ala IS, kereta anak Maria pula disimbah cat

Dua hari lalu, pengerusi Bersih 2.0 itu menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali.
maria chinPETALING JAYA: Maria Chin Abdullah hari ini menerima satu lagi ugutan apabila kereta anak lelakinya disimbah dengan cat merah, hanya 2 hari selepas menerima ugutan bunuh daripada orang yang tidak dikenali.
Susulan itu, ahli Bersih 2.0 Mandeep Singh berkata satu laporan polis akan dilakukan pada jam 4 petang ini di Balai Polis Bukit Aman.
“Pada awal lagi tadi, kereta kepunyaan anak Maria disimbah cat merah di perkarangan rumahnya.
“Sejak hari pertama tarikh himpunan aman Bersih 5 diumumkan, serangan jijik, kotor dan ganas ini dilakukan terhadap Maria dan keluarganya.
“Malah, 2 hari lalu, Maria dan 3 anaknya bersama Ambiga Sreenevasan dan saya sendiri turut diugut bunuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Bersih 2.0 itu sebelum ini mengakui menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali.
Beliau merujuk kepada gambar disunting memaparkan dirinya dalam keadaan berlutut sambil pisau diajukan kepadanya.
Gambar itu kelihatan seperti aksi kumpulan bersenjata IS.
Sementara itu, Maria dan anak lelakinya membuat satu laporan polis pagi ini susulan kejadian simbahan cat itu.
“Petang ini, Bersih 2.0 akan ke Bukit Aman untuk menyerahkan satu memorandum mengenai semua kejadian yang berlaku,” kata kenyataan itu
Sementara itu, Maria ketika dihubungi FMT enggan mengulas lanjut berkenaan ugutan terbaru yang diterimanya atas faktor keselamatan anaknya.
“Saya harap wartawan faham. Saya tak nak komen lagi sekarang. Saya akan buat laporan polis dan sidang media petang ini di Bukit Aman,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA