Rabu, 19 Oktober 2016

Leka RUU 355 hingga lupa masalah rakyat, kata Raja Bahrin

Beliau melahirkan kekesalan kerana tidak banyak tumpuan diberi kepada keperluan segera rakyat.
raja-kamarul
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dan beberapa isu besar lain menyebabkan ramai pemimpin di Terengganu terlupa dengan masalah harian rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, terlalu banyak tenaga ditumpukan pada polemik dan isu-isu besar berbanding masalah dihadapi rakyat.
“Saya rasa sekarang ini terlalu banyak tumpuan tentang isu yang mungkin tidak memberi tumpuan kepada keperluan segera rakyat.
“Ekonomi sekarang ini lembap, disebabkan GST (cukai barang dan perkhidmatan), kejatuhan wang lagi. Pantai Timur, khususnya Terengganu tidak dinamik seperti Lembah Klang.
“Apa-apa yang dirasai Lembah Klang, kalau rasa teruk, di Terengganu lagi teruk dan bertambah berat,” katanya kepada FMT.
Tinjauan yang dilakukan FMT mendapati rata-rata rakyat Terengganu mengeluh kerana terpaksa berdepan dengan masalah ekonomi yang lembap.
Malah, di ibu negeri yang pernah sibuk satu masa dulu, premis perniagaan melaporkan keuntungan semakin merosot, dengan beberapa pusat membeli-belah dilihat lengang.
Begitu juga Pasar Payang yang seperti dilanggar garuda, tidak bersesak-sesak seperti sebelum ini.
Buah duku Terengganu yang selama ini menjadi tarikan utama pada musim buah-buahan juga seolah-olah tiada harga kali ini.
Jelas Raja Bahrin lagi, rakyat Terengganu yang bekerja sendiri turut menghadapi masalah ekoran kekurangan pendapatan.
“Rakyat yang mencari pendapatan harian menghadapi masalah, mereka nak bayar sewa juga terdesak. Seharusnya, masalah mereka lebih banyak diberikan tumpuan.

“Bukan nak kata RUU 355 tidak penting, tetapi jangan sampai lupa isu harian. Sekarang ini dah masuk di Parlimen, jadi kita tunggu sahaja untuk dibalas. Benda itu belum lagi dibahaskan, orang dah riuh sekampung,” katanya.
Sesetengah pihak di Terengganu menyalahkan fenomena ini kepada parti politik di Terengganu yang tidak lagi menjadikan keperluan rakyat sebagai sebahagian perjuangan mereka.
“Harapkan PAS, sibuk dengan RUU mereka sahaja,” kata seorang pemilik sebuah kedai jam di Kuala Terengganu, merujuk usaha PAS meluluskan RUU bagi membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA