Jumaat, 21 Oktober 2016

Lebih banyak RUU Syariah, lebih baik, kata peguam syariah

Nizam berkata, sebaik-baiknya 3 parti itu berbincang dan merumuskan satu rangka kerja bersama untuk meminda akta itu, sebelum membentangkannya di Parlimen bagi mengelakkan kecelaruan.
Nizam-Bashir
PETALING JAYA: Peguam syariah menyambut baik tindakan Amanah dan Barisan Nasional (BN) mengemukakan cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 seperti yang diusulkan presiden PAS Mei lalu.
Peguam Nizam Bashir mengalu-alukan lebih banyak pilihan, selain rang undang-undang (RUU) persendirian yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda akta itu bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.
“Isu ini agak mudah sebenarnya dan 3 parti pada dasarnya mempunyai matlamat sama untuk memperkasakan Mahkamah Syariah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan BN mungkin mengusulkan RUU sendiri untuk meminda akta itu, iaitu RUU ke-3 berkaitan syariah, selepas usul PAS dan Amanah.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan sedang mengkaji rancangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan hukuman ke atas penjenayah syariah kepada penjara 3 tahun, 6 sebatan dan denda RM5,000.
Nizam berkata, sebaik-baiknya pihak terbabit berbincang dan merumuskan satu rangka kerja bersama untuk meminda akta itu, sebelum membentangkannya di Parlimen.
“Jika mereka tidak boleh merumuskan satu rangka kerja bersama, maka kita akan berdepan keadaan celaru di mana setiap pihak akan cuba mendesak pindaan dicadangkan mereka,” katanya sambil menambah setiap parti akan cuba meyakinkan wakil rakyat atas pagar untuk menyokong cadangan mereka.
Katanya, wakil rakyat bukan Islam juga perlu memberi perhatian terhadap isu ini dan mengundi apabila tiba masanya.
“Ahli Parlimen bukan Islam juga mempunyai kewajipan mewakili pengundi Islam di kawasan mereka, jadi mereka perlu menyuarakan pandangan pengundi mereka dan mengundi dalam perkara itu.”
Seorang lagi peguam syariah, Akberdin Abdul Kader turut sependapat ia perkembangan positif, di mana BN dan Amanah turut mempunyai cadangan mereka selain PAS.
“Ada sentimen terima atau tolak, tetapi dengan adanya lebih banyak pilihan, kita boleh memperluaskan skop perbincangan mengenai perkara itu,” katanya kepada FMT.
Beliau menganggap perkara biasa untuk Amanah dan BN mengemukakan cadangan mereka yang disokong rakan sekutu dan ahli masing-masing, sebelum membentangkannya di Parlimen.
“Sudah tentu Amanah dan BN tidak akan mengusulkan sebarang RUU jika rakan dan ahli mereka tidak setuju dengannya.

“Mudah-mudahan, dengan adanya cadangan lebih sebuah parti, rakyat dan ahli Parlimen lebih terbuka membincangkan pelbagai pindaan berbanding menolaknya bulat-bulat,” katanya.
Isnin lalu, Amanah mengumumkan mereka akan membawa RUU persendirian yang akan menjadi alternatif kepada usul Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Selasa lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berharap kesepakatan boleh dicapai untuk RUU persendirian Amanah yang dibuat tanpa merujuk komponen pakatan pembangkang lain.
Pada 26 Mei lalu, Hadi membentangkan usul RUU persendirian untuk meminda akta itu di Dewan Rakyat bagi meningkatkan kuasa mahkamah syariah, khasnya mengenai hukuman.
Pengkritik mendakwa ia akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud, tetapi PAS menafikannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA