Ahad, 30 Oktober 2016

‘Krisis hutang baru’ hantui bekas anak syarikat 1MDB

Straits Times Singapura melaporkan, SRC International mungkin menjual asetnya kepada sebuah syarikat China untuk mendapatkan modal baru.
src-1mdb
PETALING JAYA: Krisis hutang baru menghantui bekas anak syarikat 1MDB, SRC International yang meminjam RM4 bilion daripada dana pencen penjawat awam.
Straits Times Singapura melaporkan, perunding kerajaan Malaysia sedang membincangkan pengambilalihan aset SRC International oleh sebuah syarikat China bagi mendapatkan modal baharu untuk membiayai pinjaman 10 tahun Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).
Akhbar itu melaporkan, SRC International bergelut membayar faedah tahunan dan bakal menghadapi cabaran pada awal tahun depan, apabila ia perlu membuat pembayaran faedah dan pembayaran balik sebahagian daripada jumlah prinsipal.
KWAP ialah dana pencen negara untuk 1.6 juta penjawat awam dan menurut laporan itu, SRC boleh menimbulkan masalah baru buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
SRC International adalah anak syarikat 1MDB yang menjadi milik penuh Kementerian Kewangan. Ia ditubuhkan pada awal 2011 untuk membuat pelaburan strategik sumber tenaga di luar negara.
SRC yang diambil alih Kementerian Kewangan sejak itu, dikaitkan dengan deposit RM42 juta ke akaun peribadi Najib, pada 2013. Perdana menteri berkata, beliau tidak sedar tentang perkara itu.
Straits Times melaporkan, SRC membayar RM164 juta faedah tahunan kepada KWAP, bagaimanapun ia perlu membayar RM660 juta pada tahun depan dan RM964 juta pada 2018, ketika ia mengurangkan jumlah prinsipal.
“Ini perlu diselesaikan dan satu daripada pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah penjualan aset dan liabiliti syarikat kepada pihak baru,” kata seorang eksekutif kewangan yang terbabit dalam penstrukturan semula korporat di 1MDB.
Akhbar itu memetik laporan tahunan SRC 2014 yang syarikat itu mempunyai RM305.6 juta pelaburan di Malaysia dan RM3.8 bilion di luar negara serta melaporkan kerugian sebanyak RM164.5 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA