Khamis, 20 Oktober 2016

KPN: Polis masih teruskan siasatan 1MDB

Khalid mengakui laporan siasatan 1MDB masih tidak lengkap dan pihaknya sedang berusaha untuk memastikan ia sempurna sebelum diserahkan kembali kepada peguam negara.
khalid-igp-pdrm-polis-1mdb
KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis sedang giat mengesan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua polis negara (KPN) itu berkata, isu 1MDB masih diteruskan memandangkan pihaknya memerlukan maklumat lebih lengkap sebelum diserahkan semula kepada pihak peguam negara.
“Laporan 1MDB masih tidak lengkap. Saya rasa saya sudah memaklumkan sebelum ini di mana kami menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara, ia dikembalikan semula kepada kami.
“Kami dikehendaki meneruskan siasatan lanjut, jadi kami sedang lakukan itu sekarang. Beberapa saksi sudah diambil keterangan, setengah lagi belum. Ia memerlukan masa. Kami perlu masa mengesan saksi-saksi memandangkan mereka tidak berada di sini. Bagaimanapun, kami pasti akan menyiapkan siasatan ini dan diserah semula kepada peguam negara,” Katanya.
Khalid berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Bestari ke-6, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) ketika diminta mengulas perkembangan terkini siasatan 1MDB.
Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu yang dicari, namun enggan mendedahkan nama.
“Untuk melancarkan siasatan, sudah tentu kita tidak akan mendedahkan nama individu tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA