Isnin, 24 Oktober 2016

Konvoi Bersih 5 kecoh dihalang penduduk

Konvoi Bersih 5 kecoh dihalang penduduk
Ketua Polis Daerah Rompin (dua,kiri) sedang berbincang dengan wakil konvoi Bersih 5 di Bandar Kuala Rompin dan bersetuju untuk bersurai.
KUALA ROMPIN – Konvoi Bersih 5 dalam misi mengedarkan risalah dan memberi penerangan berkaitan gerakan itu dihalang oleh sekumpulan penduduk yang menanti di Leban Chondong, hari ini.
Konvoi yang menuju ke Bandar Kuala Rompin selepas singgah di Leban Chondong kemudiannya ditahan di Kampung Derahman sekitar jam 12.30 tengahari yang menyebabkan jalan menjadi sesak bagi kedua arah dalam tempoh beberapa minit.
Setelah ditenteramkan oleh pihak polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, keadaan kembali tenang dan konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Kuala Rompin.
Kumpulan penduduk yang turut berkumpul di Bandar Kuala Rompin sekali lagi menyambut ketibaan konvoi itu sambil mendesak mereka menghentikan sebarang aktiviti dan berpatah balik ke tempat bermula konvoi.
Situasi sekali lagi bertukar kecoh dan campur tangan pihak polis berjaya meredakan ketegangan sekali gus kedua belah pihak akhirnya bersurai selepas dinasihatkan oleh DSP Muhammad Aidil.
Wakil kumpulan penduduk, Mohamed Samim Salimullah, 52, yang ditemui berkata, tindakan kumpulan konvoi Bersih 5 itu tidak sensitif dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang yang sepatutnya diraikan oleh masyarakat setempat.

Menurutnya, mereka tidak mewakili mana-mana pihak atau kumpulan sebaliknya terdiri daripada penduduk yang tidak berpuas hati dan mahu supaya konvoi itu menghentikan aktiviti serta berpatah balik.
Beliau berkata, hasil perbincangan awal mereka bersetuju konvoi hanya sampai di Leban Chondong namun selepas itu mereka mula bergerak ke Bandar Kuala Rompin yang seterusnya mencetuskan kemarahan penduduk terlibat.
Sementara itu, Ketua PKR Cabang Rompin, Rabidin Kasmawi menegaskan mereka menghormati Hari Keputeraan Sultan Pahang dan menerima nasihat pihak berkuasa agar tidak ke Rompin melalui Pekan sebaliknya melalui jalan Muadzam Shah sebagai laluan alternatif.
Menurutnya, konvoi itu tidak melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang, hanya sekadar memberi penerangan dan mengedar risalah kepada masyarakat mengenai Bersih 5.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA