Rabu, 26 Oktober 2016

Kewangan punca kerajaan cadang henti F1, kata Khoo Kay Kim

Beliau menyarankan kerajaan supaya menumpukan acara yang berjaya seperti Sukan Paralimpik
Tan-Sri-Prof-Khoo-Kay-Kim
PETALING JAYA: Masalah kewangan punca kerajaan bercadang untuk menghentikan penganjuran perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) selepas kontrak penganjuran tamat pada 2018.
Pengkritik sukan Tan Sri Prof Khoo Kay Kim percaya pelumbaan itu mengalami masalah tajaan syarikat swasta yang berkurangan dan penjualan tiket yang merosot.
“Saya rasa tidak dapat dielakkan kalau ada masalah kewangan. Bergantung kepada pihak pemerintah sama ada kita mampu anjur F1 atau tidak,” katanya ketika dihubungi FMT.
Kerajaan dilaporkan sedang menimbangkan untuk menghentikan penganjuran F1 antara lain kerana kemerosotan jualan tiket dan tontotan televisyen.
Ketua Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, jualan tiket F1 merosot sejak 2014 dan laporan awal menunjukkan kadar tontonan televisyen di Malaysia tahun ini terendah dalam sejarah.
“Tiket ini memang banyak masalah sejak kita jadi tuan rumah pada tahun 1999. Disebabkan tidak memperoleh laporan jelas jadi banyak tuduhan, lebih lagi sukan yang begitu besar” kata Kay Kim.
Malaysia mula menganjurkan F1 di Sepang pada 1999 dan kali terakhir perlumbaan itu diadakan di negara ini ialah 2 Oktober lalu yang dijuarai pemandu Red Bull Racing, Daniel Ricciardo dari Australia.

Penaja utama perlumbagaan F1 negara, Petronas, menerima tamparan hebat susulan kejatuhan harga minyak kebelakangan ini.
“Bagaimanapun kerajaan perlu mengambil langkah untuk menambahkan hasil negara sekiranya mahu meneruskan penganjuran F1,” katanya.
Sementara itu, Kay Kim menyarankan kerajaan supaya menumpukan acara sukan yang lebih “penting” seperti Sukan Paralimpik.
“Ini jelas selepas dalam Bajet 2017, kerajaan telah menambah peruntukan dalam sukan. Mungkin sukan Paralimpik lebih penting buat masa ini disebabkan kejayaan yang diperoleh baru-baru ini.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA