Ahad, 23 Oktober 2016

Kerajaan tiada hak senarai hitam syarikat taja Bersih, kata Maria Chin

Maria mempertahankan syarikat yang membiayai Bersih atas alasan kebebasan berpersatuan yang perlu dihormati semua pihak.
maria-dahlan-1
PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, terkejut dengan ancaman kerajaan untuk menyenaraihitamkan penaja Bersih dan menuntut penjelasan atas dasar apa ia diambil..
Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang menyelia Unit Perancang Ekonomi dan Unit Kerjasama Awam-Swasta hari ini berkata, syarikat yang ingin mendapatkan kontrak kerajaan akan diteliti sama ada mereka terlibat dalam membantu membiayai Bersih.
Maria berkata ia merupakan satu keputusan yang mengejutkan kerana Bersih, gabungan reformasi pelbagai kumpulan ditubuhkan untuk memerangi rasuah dan tadbir urus yang baik serta pilihan raya bebas dan adil.
“Apa isu beliau dengan Bersih? Adakah anti rasuah, atau pilihan raya yang bersih dan adil? Beliau menakutkan syarikat (dengan mengancam menyenaraihitamkan mereka),” katanya.
Rahman, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata masa berlembut dan bertolak ansur sudah berakhir serta bersetuju dengan kolum Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang menggesa tindakan terhadap perniagaan yang menyokong Bersih.

Maria berkata Rahman tidak mempunyai hak menentukan syarikat mana yang boleh membiayai Bersih, kerana ia merupakan “pasaran bebas dan di bawah kebebasan berpersatuan.”
Rahman tidak mempunyai hak mendiskriminasikan komuniti perniagaan. “Kami tidak menjual senjata api. Kami hanya berjuang untuk pilihan raya bersih dan menentang rasuah,” katanya.
Maria menegaskan Bersih sering mempelawa ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah pihak untuk menyertai perhimpunan dan konvoi mereka.
Bersih merancang mengadakan perhimpunan jalanan pada 19 November ini di Kuala Lumpur untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak dan melaksanakan pembaharuan politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA