Khamis, 27 Oktober 2016

Kerajaan negeri perlu timbang tiga isu babitkan projek Warisan Kg Laut


Husam bertemu penduduk Kampung Laut yang berdemonstrasi membantah pengambilan tanah mereka.Husam bertemu penduduk Kampung Laut yang berdemonstrasi membantah pengambilan tanah mereka.
Tiga isu menyentuh cadangan pengambilan hak milik tanah untuk projek Warisan Kampung Laut disentuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa ketika membahaskan belanjawan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, pagi tadi.
Menurut Husam, rancangan projek Warisan Kampung laut yang disebut Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dalam ucapan pembentangan bajet negeri membabitkan isu pemilikan dan pesaka.
"Tanah orang ramai yang terlibat mempunyai isu pesaka yang tidak diselesaikan dan dengan itu jika pembayaran dibuat, penghuni rumah sedia ada tidak mendapat bahagian yang mencukupi untuk mereka membina atau membeli rumah baru kerana pertindihan banyak pemilik.
"Ini akan berakhir dengan pampasan akan tersangkut di Amanah Raya dan mereka pula akan kehilangan tempat tinggal. Kerajaan patut mempertimbangkan kedudukan ini," katanya.
Isu kedua yang timbul, tambah beliau adalah pengambilan tanah penduduk dilakukan dengan menggunakan kaedah 3(a) iaitu untuk tujuan awam dan bukannya 3(c) iaitu pengambilan untuk tujuan komersial.
"Rasa saya, projek ini mempunyai unsur komersial. Pada hari ini, orang awam dipaksa melepaskan pegangan mereka untuk pihak komersial mendapat sepenuh faedah tidak lagi sesuai diamalkan.
"Pemilik wajar lebih dahulu dirundingi kalau-kalau mereka ingin ikut serta dalam pembangunan itu atau sebolehnya milik mereka dielakkan," katanya.
Husam juga ingin tahu sama ada kajian daya maju (kajian feasibiliti) telah dibuat kerajaan negeri khususnya Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (Upen) sebelum projek itu dilaksanakan.
"Adakah dengan adanya pihak yang terpaksa berkorban hak milik mereka, projek ini benar-benar akan membawa perubahan positif, kejayaan dan kesan yang besar?
"Jika kajian itu ada, elok ia didedahkan dahulu kepada orang awam untuk penelitian, bantahan atau penambah baikan.

"Banyak juga, projek sebegini berakhir dengan kegagalan, tetapi tanah milik rakyat telah terlepas," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, berpuluh penduduk Kampung Laut berdemonstrasi di perkarangan kompleks pejabat kerajaan negeri, pagi tadi bagi membantah tindakan kerajaan mengambil tapak rumah dan tanah mereka untuk dijadikan tapak projek Warisan.
Pelbagai poster dan sepanduk dipamerkan sepanjang bantahan berlangsung.
Husam yang juga Penasihat AMANAH Kelantan mengambil kesempatan bertemu penduduk yang berdemonstrasi semasa sidang Dun berhenti rehat bagi meredakan kemarahan mereka.
Kampung Laut terletak di dalam kawasan Dun yang diwakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Kekecohan berlaku apabila tapak rumah di situ diambil oleh kerajaan untuk projek Warisan tanpa perundingan dengan penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA