Jumaat, 28 Oktober 2016

Kerajaan negeri dan pembangkang sebulat suara tuntut hak Sarawak


Dewan Undangan Negeri SarawakDewan Undangan Negeri Sarawak
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang See Chee How menyifatkan usul yang bakal dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak bulan depan sangat penting kerana ia bakal menghantar isyarat tegas kepada kerajaan persekutuan berhubung tuntutan hak Sarawak.
Beliau gembira kerana Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan kesediaan kerajaan negeri untuk membentangkan usul itu.
Sebelum ini, Adun Ba'Kelalan yang juga Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengumumkan akan membentangkan usul mencadangkan kerajaan negeri menyatakan pendirian untuk merombak pindaan kepada Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 1976 yang telah merendahkan kedudukan Sarawak kepada 'negeri' dalam Persekutuan.
"Marilah kita tunggu dan lihat sebab kita tidak tahu isi kandungan (usul kerajaan negeri). Sudah tentu ia menyentuh soal intergriti wilayah, hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), untuk melaksanakan janji-janji yang termaktub di bawah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan saranan-saranan Suruhanjaya Cobbold, kita akan memberi sokongan penuh," kata See dalam sidang media di Kuching, semalam.
Beliau menambah, usul yang bakal dibentangkan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk mempertahankan hak dan intergriti, menjelaskan kaedah dan langkah susulan bagi merealisasikan semua komitmen yang digariskan, lapor The Borneo Post.
Menurut See, pindaan kepada Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 1976 telah melangggar Perjanjian Malaysia 1963 kerana ia tidak boleh dibuat tanpa penglibatan semua pihak yang menandatangani perjanjian itu (termasuk Sarawak).

"Perjanjian Malaysia adalah 'perjanjian antarabangsa'. Kamu tidak boleh secara unilateral merombaknya tampa penglibatan semua yang terlibat. Sebab itu kita kata ianya terbatal dan tidak sah (null and void). Ianya adalah dokumen antarabangsa dan bukannya dokumen negara Malaysia," kata See.
Ketika ditanya sama ada pihak kerajaan dan pembangkang akan membentuk jawatankuasa bersama bagi merangka usul tersebut, See menganggap ianya sebagai sesuatu yang ideal namun sukar dilakukan.
Sehubungan itu, tambah beliau, PKR tetap akan mengemukakan usul berhubung perkara tersebut walaupun kerajaan negeri bercadang mengemukakan usul yang sama.
Jika terdapat kelemahan dalam usul yang dibentangkan, tambah beliau, usaha untuk memperbaikinya boleh dibuat ketika perdebatan.
See yang juga Naib Pengerusi PKR Sarawak berpendapat, jika kerajaan persekutuan tidak melakukan apa-apa walaupun Dun Sarawak mencapai resolusi tidak berbelah bahagi untuk meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Adenan dan kerajaan negeri pimpinannya perlu memikirkan sama ada wajar untuk terus menyokong kerajaan persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA