Jumaat, 21 Oktober 2016

Kenapa Sirul masih tidak diekstradisi ke Malaysia, soal peguam keluarga Altantuya

Perkara ini memerlukan perhatian segera kerana hampir 2 tahun sejak Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan.
Ramkarpal-Singh_Sirul_600
KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili keluarga Altantuya Shaariibuu menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan jika kerajaan bercadang mengekstradisi pembunuhnya, Sirul Azhar Umar ke Malaysia.
Ramkarpal Singh juga mahu timbalan perdana menteri menjelaskan kenapa Sirul masih tidak diekstradisi ke Malaysia, sehingga kini.
“Perkara ini sudah tentu menjadi kepentingan awam dan memerlukan perhatian segera kerana sudah hampir 2 tahun sejak Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, sudah tentu keluarga Altantuya berhak mendapat jawapan serta-merta kerana perkara itu sudah lama tertangguh.
Katanya, jawapan tidak konsisten kerajaan berhubung isu itu menambahkan lagi kesangsian yang ia tidak berminat mengekstradisi Sirul atau sekurang-kurangnya berunding untuk membawanya pulang ke Malaysia.
Ramkarpal berkata, alasan proses ekstradisi adalah rumit menunjukkan ketidakcekapan Jabatan Peguam Negara.
“Sudah tentu tidak perlu mengambil hampir 2 tahun untuk tahu cara mengekstradisi seseorang.”
Tidak syak lagi, katanya, kerajaan Australia tidak menyokong hukuman mati dan boleh menolak permohonan ekstradisi Sirul atas alasan itu, namun ia tidak bermakna kerajaan boleh melepaskan tanggungjawabnya untuk cuba membawa Sirul pulang.
“Kerajaan berulang kali memberi jaminan di Parlimen yang ia akan berbuat demikian.”
Wakil rakyat DAP itu berkata, sudah berkali-kali beliau bertanya menteri dalam negeri dan perdana menteri status prosiding ekstradisi itu dan 5 dakwaan dilemparkan Sirul sejak tahun lalu hingga tahun ini, tetapi gagal.
Ramkarpal berkata, setiap kali, kerajaan memberi jawapan standard, aiitu kerajaan dalam proses berunding dengan kerajaan Australia dan perkara itu adalah rumit.

Sudah 10 tahun sejak Altantuya dibunuh dan hampir 2 tahun 2 penjawat awam didapati bersalah membunuh model Mongolia itu dan mereka dijatuhkan hukuman mati, pada 13 Januari 2015.
Sirul melarikan diri ke Australia, sebelum Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman berkenaan dan kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Sydney.
Semalam, Ramkarpal berkata, salinan pindaan terhadap penyata tuntutan dalam kes pembunuhan Altantuya akhirnya berjaya diserahkan kepada Sirul di pusat tahanan itu, baru-baru ini.
“Saya kini menunggu makluman rasmi daripada penghantar saman Australia. Selepas itu saya akan maklumkan kepada mahkamah pada tarikh pengurusan kes minggu depan,” katanya sambil menambah Sirul diberi tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dokumen itu untuk membalasnya, sama ada mahu mencabar pindaan terhadap tuntutan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA