Sabtu, 29 Oktober 2016

Kenapa 1MDB terabai daripada Bajet 2017

Ahli Parlimen itu menuduh Najib membuat “cubaan sembunyi daripada skandal itu” selepas dengan bongkak bercakap mengenai syarikat pelaburan itu pada ucapan bajet tahun sebelumnya.
tony-pua_1mdb_600_new
KUALA LUMPUR: Tony Pua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba menyembunyikan skandal 1MDB, dan menutupnya bagi pihak bersalah termasuk dirinya sendiri, kerana tidak membangkitkan langsung mengenai syarikat pelaburan negara itu dalam Bajet 2017.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata seorang menteri kewangan yang bertanggungjawab sudah tentu menjelaskan bagaimana skandal kewangan itu akan diselesaikan.
Beliau berkata Najib yang juga menteri kewangan, “seronok” mengenai projek 1MDB dan pencapaiannya dalam beberapa siri ucapan bajetnya sebelum 2013.
Tidak menyentuh mengenai perkara itu dalam Bajet 2017 menunjukkan ia “cubaan jelas untuk menyembunyikan skandal itu dan menutupnya untuk pihak bersalah termasuk dirinya”, kata Tony yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP.
Katanya, pelaksanaan rasionalisasi 1MDB sepatutnya selesai pada Jun tetapi “sudah runtuh” dan berbilion ringgit diseleweng daripada 1MDB.
Tony juga menyentuh perbezaan sikap Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum dan selepas pelantikannya dalam Kabinet.
“Kagum melihat bagaimana seorang ahli Parlimen Umno bercakap ketika dia berada di dalam dan luar Kabinet,” katanya.
Tony berkata Johari sebelum ini antara ahli Parlimen Umno yang lantang dan bertanya mengenai huraian RM50 bilion dalam skandal 1MDB.
“Tetapi sejak jadi menteri kewangan kedua, Johari beritahu orang 1MDB tidak ada kena mengena dengan bajet persekutuan,” katanya.

Katanya, Johari patut rasa malu kerana mengecewakan rakyat Malaysia.
Beliau berkata penyandang jawatan itu sebelum Johari, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sama seperti bekas menteri lain mempersoalkan mengenai 1MDB di Dewan Rakyat.
“1MDB memang ada kena mengena dengan bajet persekutuan,” katanya.
Skandal antarabangsa itu menjejaskan reputasi Malaysia kerana menjadi kleptokrasi; Najib dipercayai menyeleweng AS$731 juta ke dalam bank akaun peribadinya tetapi tetap kekal sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
“Jika 1MDB gagal membayar semua pinjamannya, Kementerian Kewangan terpaksa membayarnya,” katanya dan jumlah RM32 bilion itu akan menaikkan defisit bajet kepada 5.4% daripada KDNK, daripada sasarannya 3%.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA