Khamis, 20 Oktober 2016

Kemungkinan RUU ke-3 berkaitan syariah, kali ini daripada BN

Jamil Khir Baharom berkata, RUU kerajaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah itu akan merangkumi hukuman khidmat masyarakat.
Jamil-Khir_law_bn_600KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mencadangkan rang undang-undang (RUU) sendiri akan dibentangkan bagi memperkasakan Mahkamah Syariah, usul ke-3 selepas RUU persendirian yang dikemukakan presiden PAS dan wakil rakyat Amanah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan sedang mengkaji rancangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan hukuman ke atas penjenayah syariah kepada penjara 3 tahun, 6 sebatan dan denda RM5,000.
“Jika pindaan itu diluluskan Parlimen, kerajaan ingin mencadangkan penjenayah syariah dijatuhkan hukuman, termasuk melakukan khidmat masyarakat,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) sambil menambah akta itu tidak dipinda sekian lama.
Kok meminta perdana menteri menyatakan jika Kabinet sudah membincangkan RUU yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mei lalu, susulan kenyataan menteri-menteri dan kumpulan berkepentingan lain terhadap rancangan itu.
Kok juga ingin tahu jika kerajaan akan mempertimbangkan pandangan sesetengah menteri dan masyarakat.
RUU yang sebahagian besarnya dilihat sebagai langkah PAS memperkenalkan hudud di Kelantan, dijadual dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini, dan disenaraikan berada dalam senarai ke-5 Kertas Perintah Parlimen.

Hadi dan menteri Umno lain berkata, RUU itu bertujuan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah, bukannya untuk memperkenalkan hudud.
Jawapan Jamil itu susulan pengumuman Amanah semalam untuk membentangkan pindaan mereka bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.
Amanah antara lain berkata, RUU mereka mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai ketua hakim Mahkamah Syariah dari setiap negeri, profesioanl dan agamawan serta pihak berkuasa berwajib.
Parti serpihan PAS itu menolak RUU Hadi sebagai “retorik” politik, manakala Umno pula belum membuat sebarang pendirian rasmi berhubung perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA