Jumaat, 21 Oktober 2016

Keluar parti: Umno tak perlu gentar dengan Bersatu

KOTA BHARU - Umno tidak perlu gentar dengan kemungkinan ia akan menghadapi krisis ahli keluar parti beramai-ramai untuk menyertai parti Bersatu menjelang PRU14 nanti.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, berdasarkan pemerhatian yang dibuat, kemungkinan untuk perkara ini berlaku adalah agak tipis.
Dr Kamarul Zaman Yusoff "Tidak dinafikan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bekas Presiden dan Timbalan Presiden Umno, sudah tentu mereka mempunyai pengikut tersendiri.
"Bagaimanapun, perlu diingat, budaya politik dominan dalam Umno adalah lebih kepada kesetiaan terhadap pemimpin yang sedang berkuasa bukan terhadap bekas pemimpin walau sebesar mana pun jasa mereka.
"Sudah menjadi lumrah, bila sahaja pemimpin terlucut dari puncak kuasa tiba-tiba sahaja pengikut yang berada sekitar mereka sebelum ini akan berkerumun mengelilingi pemimpin baru pula.
"Tambahan pula, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah bertapak aktif dalam Umno sejak 1976 lagi, jadi dalam tempoh lama ini sudah tentulah beliau mempunyai jaringan dalam parti yang cukup kuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Kamarul Zaman berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa bekas ahli Umno seperti Datuk Mohd Ezam Mohd Noor dan Mohd Rafiq Naizamohideen menyertai Bersatu baru-baru ini.
Menurutnya, dalam Umno sendiri pun masih ramai ahlinya meletakkan kesetiaan kepada perjuangan parti bukan individu tertentu, apatah lagi apabila individu ini dilihat melakukan perkara yang bercanggah dengan perjuangan parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA