Jumaat, 21 Oktober 2016

Johari: Kami tak usik rakyat, subsidi minyak masak diteruskan

Johari berkata, kerajaan hendak mengawal subsidi minyak masak yang diguna pakai untuk jualan eksport.

KUALA LUMPUR: Rakyat akan terus menerima subsidi minyak masak daripada kerajaan, kata Menteri Kewangan kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.
“Kita tidak usik rakyat, mereka tetap akan dapat subsidi,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media memetik Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) mendakwa harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan
depan, susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan.
Johari bagaimanapun berkata, langkah bagi mengatasi ketirisan subsidi minyak masak perlu diberi perhatian serta memuji ketegasan langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menangani isu berkenaan.
“Apa yang berlaku, subsidi minyak masak kerajaan beri diguna pakai untuk jualan eksport, itu yang kita nak kawal,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, lesen perniagaan pemborong dan pembekal minyak masak akan ditarik balik jika mereka didapati menyorok bekalan bahan tersebut bagi mengaut keuntungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA