Isnin, 24 Oktober 2016

Jika syarikat taja Bersih boleh disenarai hitam, penyokong parti pembangkang bagaimana pula?

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Tindakan menyenarai hitam mana-mana syarikat yang dikesan membiayai dan membantu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) hanya membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kredibiliti dalam melaksanakan pembaharuan pembiayaan politik yang adil dan saksama.
Kerajaan BN sebelum ini mencadangkan agar Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik digubal yang akan memerlukan semua parti politik mendedahkan sumber pembiayaan politik mereka.
kian ming“Jika Menteri menyasarkan syarikat yang menyokong Bersih hanya dengan bersandarkan alasan palsu dan tidak berasas, apa jaminan BN tidak akan mendiskriminasi syarikat dan individu-individu yang menyokong pembangkang?
“Lebih-lebih lagi apabila sumber pembiayaan politik parti pembangkang harus didedahkan melalui akta pembiayaan politik itu,” kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini, pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam bahawa kerajaan akan menyiasat dan menyenarai hitam mana-mana syarikat yang didapati menaja Bersih.
Ia susulan artikel yang ditulis Awang Selamat bertajuk ‘Bersih Diperkasa?’ di akhbar UMNO, Mingguan Malaysia yang menyarankan syarikat menaja Bersih disenarai hitam kerana bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.
Ruang pojok itu turut menuduh kerajaan negeri pembangkang melakukan langkah tersebut ke atas pihak-pihak yang dilabel sebagai musuh.
Menurut Kian Ming, tuduhan Rahman dan Awang Selamat kononnya Bersih bertujuan untuk menggulingkan kerajaan adalah tidak berasas sama sekali kerana langsung tidak tersenarai dalam lapan tuntutan yang dibawa badan pendesak pilihan raya bersih dan adil itu.

“Lima objektif perhimpunan Bersih 5 yang akan datang ini – pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak untuk berbeza pendapat, melindungi demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi – langsung tidak menyebut tentang menggulingkan kerajaan dengan cara tak sah.
“Saya juga telah mencabar Rahman Dahlan dengan meminta beliau menunjukkan bukti Bersih mahu menggulingkan kerajaan, tetapi tidak ada jawapan sehingga sekarang,” jelasnya.
Penolong Setiausaha DAP Selangor itu turut mempersoal sama ada seorang Menteri seperti Rahman Dahlan mempunyai hak untuk menyenarai hitam mana-mana syarikat yang menaja Bersih.
“Atas dasar undang-undang mana beliau ada hak untuk menyenarai hitam syarikat-syarikat yang terlibat dari menerima kontrak kerajaan selepas ini?” soalnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menegaskan bahawa BN perlu menunjukkan bukti jika benar kerajaan yang diperintah oleh parti pembangkang pernah menyenarai hitam mana-mana syarikat yang tidak bersetuju dengan mereka.
“Tuduhan mereka itu akan hanya tinggal sebagai tuduhan kerana ia tak benar sama sekali. Jika ada, sila tunjukkan bukti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA