Jumaat, 28 Oktober 2016

Jangan salahkan pihak lain, Najib punca tanggapan negatif pada negara


Khalid SamadKhalid Samad
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dinasihati agar tidak menyalahkan pihak lain berhubung persepsi negatif pihak luar terhadap ekonomi dan politik negara ini kerana imej negara di peringkat antarabangsa terjejas teruk akibat tindak tanduk beliau sendiri.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, ingatan Najib ketika membentangkan Bajet 2017 bahawa ekonomi sesebuah negara sangat berkait rapat dengan persepsi memang benar dan tepat, namun tindakannya menyalahkan pihak lain kerana "melemahkan dan mengkhianati ekonomi" negara adalah menyimpang daripada hakikat sebenar.
"Apa yang dikatakan Datuk Seri Najib adalah amat benar dan tepat. Dalam soal membuat keputusan berhubung mana ingin dilabur, tiada yang lebih penting selain persoalan persepsi pelabur terhadap negara Malaysia dan khususnya, kerajaan Malaysia.
"Sekiranya diyakini bahawa Malaysia mempunyai suasana dan iklim ekonomi yang subur, dengan rakyatnya yang terlatih dan berdisiplin, serta adanya sebuah kerajaan yang adil dan saksama, maka mereka akan mempunyai keyakinan untuk melabur di negara kita," ujar Pengarah Komunikasi Amanah Nasional itu.
Malangnya tambah Khalid, persepsi buruk terhadap suasana ekonomi Malaysia yang sudah bertapak di seluruh dunia bukan dibina oleh pembangkang atau mana-mana pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya berpunca daripada tindak-tanduk Perdana Menteri dalam menangani isu 1MDB.
"Hasil cara ianya (skandal 1MDB) diuruskan, Malaysia diyakini ramai sebagai negara yang diperintah oleh pencuri dan perompak," tegas beliau.
Khalid menambah, tuduhan bahawa Malaysia adalah sebuah negara 'kleptokrasi' (pemimpin mencuri harta rakyat) bukan dibuat oleh sebarangan pihak dan dilakukan secara senyap malah dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dan dilaporkan di seluruh dunia.
"Begitu juga ianya bukan berlaku sekadar melalui kata-kata. Sebaliknya ada bank yang ditutup dan ada pegawai-pegawai yang ditahan dan didakwa. Ada harta yang dirampas dan Jabatan Peguam Negara beberapa negara - bukan hanya satu dua -digerakkan untuk melakukan siasatan.

"Apabila ia melangkaui alam kata-kata dan diambil tindakan konkrit berhubungnya, maka ianya bukan lagi boleh dinamakan 'fitnah' atau 'tuduhan'. Dengan itu persepsi sedang cepat berubah menjadi keyakinan.
"Keyakinan bahawa Malaysia adalah negara 'kleptokrasi' dan ini menyebabkan hilangnya keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Ini akan menyebabkan pelaburan berkurangan dan dengan itu ekonomi akan terjejas," jelas Khalid dalam kolumnya di akhbar mingguan Amanah keluaran terbaru.
Khalid juga melahirkan kehairanan apabila perdana menteri  tidak mengambil kesempatan dalam ucapan bajet untuk menjelaskan isu-isu yang ditimbulkan berhubung tuduhan 'kleptokrasi' itu sedangkan rakyat dan dunia antarabangsa menunggu penjelasan  beliau.
"Ianya sangat diperlukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan dunia, khususnya pihak pelabur terhadap pentadbirannya.
"Malangnya Najib seolah-olah berada dalam 'denial syndrome' atau sindrom penafian terhadap hakikat bahawa beliau dilihat sebagai pemimpin kleptokrasi nombor 1 di dunia," kesalnya.
Najib ketika mebentangkan Bajet 2017 menyifatkan rakyat negara ini yang memberikan persepsi negatif terhadap negara umpama "merudumkan rumah dan tanah air sendiri".
"Justeru, perbuatan durjana oleh musuh-musuh luar apatah lagi tangan-tangan kotor dalam negara, yang tidak bertanggungjawab seperti ini, mesti dihentikan," ucapan Najib dipetik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA