Ahad, 30 Oktober 2016

Jangan bazirkan sumber polis tangkap Maria, kata Bersih 2.0

Penahanan Maria Chin Abdullah menunjukkan ada pihak yang mahu menghalang matlamat Bersih menuntut perbersihhan sistem pilihan raya.
maria-chin
PETALING JAYA: Penentang Maria Chin Abdullah diminta untuk tidak membazirkan sumber pihak berkuasa yang terhad, kata gabungan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.
Gabungan itu mengkritik penahanan pengerusinya di Langkon, Sabah semalam, semasa beliau mengedarkan risalah konvoi Bersih 5 yang merentasi negeri itu.
“Walaupun beliau dibebaskan dengan ikat jamin, kami melihat penahanannya satu bentuk intimidasi terhadap aktivis sosial dan hak asasi manusia,” kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.
“Penahanan itu menunjukkan ada pihak tertentu yang mahu menghalang matlamat Bersih 2.0 menuntut pembersihan sistem pilihan raya dan kerajaan.
“Kami menggesa individu atau pihak berkenaan supaya tidak menghabiskan sumber badan penguatkuasa undang-undang yang terhad. Badan penguatkuasa undang-undang kita, terutamanya polis, bertujuan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman negara dan berkhidmat untuk masyarakat.”
Maria ditahan dan kemudian dibebaskan atas ikat jamin polis kerana mengedarkan risalah Bersih yang mempromosikan himpunan Bersih 5 pada 19 November nanti.
Beliau ditahan kerana menyalahi Seskyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pada masa yang sama, Bersih berterima kasih kepada pihak berkuasa Sarawak di atas kerjasama yang diberikan kepada konvoi Bersih 5, yang meninggalkan Sri Aman semalam tanpa gangguan.
Menurut Bersih, konvoi seterusnya akan bermula dari Balai Ringin ke Serian pada 5 November nanti, merentasi Simunjan dan Gedong. Penyokong boleh berhimpun di Balai Ringin pada jam 8.00 pagi pada 5 November.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA