Rabu, 19 Oktober 2016

Jamal direman 2 hari, disiasat di bawah 3 akta

Jamal direman kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di Facebook dan insiden tolak-menolak antara aktivis Bersih dan penyokong Baju Merah di Sabak Bernam.
KUALA LUMPUR: Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos direman 2 hari, mulai hari ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Penasihat Undang-undang Gerakan Merah V2, Mohd Imran Tamrin berkata, Jamal disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Beliau berkata, siasatan itu dibuat berdasarkan laporan polis beberapa pihak berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dimuat naik ke Facebook mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969 bakal berulang dan akan berlaku kejadian parang terbang, jika perhimpunan Bersih 5 diteruskan pada 19 November nanti.
“Sekumpulan polis Bukit Aman menahan Jamal hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi tadi.
“Beliau juga ditahan berikutan insiden di Sabak Bernam tempoh hari yang dilakukan gerakan Merah terhadap Bersih 5 dan kita sedia beri kerjasama kepada polis,” katanya di IPD Dang Wangi.
Pada 9 Oktober lalu, tangkap layar menyerupai Facebook ‘Dato Jamal Yunos’ yang mengancam perang saudara mulai tersebar di media sosial.
Bertarikh 21 September jam 8.10 malam, status itu berbunyi: “Saya berjanji tragedi 13 Mei akan berulang dan parang terbang akan terjadi jika Bersih 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan #Bersih5 yang dijadualkan pada 19 Nov ini. Hidup Melayu!”
Bahasa,-Jamal-Yunos,-direman,-Baju-MerahSusulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan tindakan tegas dan segera, kerana “kenyataan menghasut sebegini tidak boleh diterima”.
Jamal bagaimanapun menafikan akaun Facebook itu miliknya dan mendakwa DAP sebagai dalang yang membuka akaun palsu menggunakan namanya dan mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengupah penggodam untuk memuat naik “post palsu” itu.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah meminta polis berlaku adil dengan turut menahan pemimpin Bersih 2.0 yang dikatakan tidak mendapat permit untuk melakukan konvoi Bersih 5.
“Polis boleh menahan Jamal, tetapi mereka juga perlu adil dengan menangkap pimpinan Bersih seperti Maria Chin Abdullah dan Ambiga,” katanya.
Armand Azha berkata, perhimpunan solidariti akan diadakan malam ini di hadapan IPD Dang Wangi bagi menyokong Jamal.
“Malam ini juga kita akan adakan solidariti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA