Khamis, 20 Oktober 2016

Isu subjudis perlu dibawa dibahas, bukan dihalang

Gobind yakin DoJ tidak boleh memetik apa-apa yang dihujahkan ahli Parlimen bagi dijadikan bukti dalam tuntutan saman itu.
Gobind-Singh_doj_600
KUALA LUMPUR: Tan Sri Pandikar Amin Mulia seharusnya membawa isu subjudis ke dalam Dewan Rakyat agar ia dapat dibincangkan oleh semua ahli Parlimen, kata Gobind Singh Deo.
Ahli Parlimen Puchong itu berkata, isu ini perlu dijelaskan agar pada masa hadapan semua ahli Parlimen dapat gambaran jelas sama ada adakah sesuatu kes itu subjudis atau tidak.
“Saya mencadangkan agar usul ini dibawa ke Parlimen agar saya boleh bersemuka dengan Pandikar dan berdebat mengenai perkara ini dan biar semua ahli Parlimen yang berminat berbahas.
“Ia supaya kita dapat satu garis peraturan yang jelas dan menjadi rujukan pada masa hadapan di mana kes itu subjudis atau tidak,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat.
Pandikar hari ini bertegas perbahasan mengenai tuntutan saman Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin subjudis kerana mahkamah di sana boleh memetik hansard Parlimen.
Pandikar memetik Peraturan Tetap 36(2) menyatakan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah tidak boleh disebut jika speaker yakin ia boleh menjejaskan kepentingan pihak dalam perbicaraan.
Gobind percaya, Pandikar membuat kesilapan apabila tidak membenarkan ahli Parlimen berbahas mengenai tuntutan saman DoJ terhadap 1MDB.
“Saya ada pandangan saya, dia ada pandangan dia. Jadi saya rasa lebih baik ia dibawa ke dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Sebelum itu, Gobind membuat permohonan kepada Pandikar agar mengkaji semula keputusan dibuatnya di bawah Peraturan 43 Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Peraturan tersebut menyatakan apa-apa keputusan yang dibuat speaker Dewan Rakyat adalah muktamad.
Kata Gobind lagi, apa-apa perkara yang menghalang pertanyaan disebabkan ia dilihat subjudis tidak terpakai kepada kes-kes di luar Malaysia.
“Sebelum keputusan itu dilihat subjudis, kita perlu tahu dengan teliti adakah kes itu sememangnya subjudis. Jika ia merujuk kepada DoJ, adakah speaker sudah lihat semua kes itu?”
Gobind turut memberikan contoh mengenai kehilangan pesawat MH370 sebagai suatu perkara yang berlaku di luar negara tetapi dibenarkan untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat.
“Kerajaan pernah usulkan perkara dalam usul MH370, kes yang melibatkan pelbagai negara. Malah, ada saman yang difailkan di Australia.
“Jadi, tidak kira di mana saman itu difailkan, usul itu tetap boleh dilakukan dan debat tetap boleh dilakukan di Malaysia,” katanya.

Gobind yang juga seorang peguam yakin, DoJ tidak boleh memetik apa-apa yang dihujahkan ahli Parlimen bagi dijadikan bukti dalam tuntutan saman itu.
“Mereka tidak boleh pergi ke mahkamah di sini dan memetik apa yang ahli Parlimen katakan. Jika mereka mahu gunakan bukti di Malaysia, mereka harus cari bukti dan ia tidak ada kaitan dengan kenyataan atau hujah ahli Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua secara ringkas bertegas menyatakan keputusan Pandikar itu bermotifkan politik.
Pandikar pada Isnin memutuskan wakil rakyat tidak dibenar membahaskan tuntutan saman DoJ yang memohon untuk menyita aset berkaitan 1MDB, kerana kemungkinan subjudis.
Tuntutan saman DoJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14.78 bilion) diselewengkan daripada 1MDB dan DoJ memohon menyita aset dibeli daripada wang itu dan menjejaki konspirasi antarabangsa membabitkan pengubahan wang haram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA