Sabtu, 22 Oktober 2016

Hutang luar negara RM848.2 bilion, hutang Kerajaan Persekutuan RM655.7 bilion

KUALA LUMPUR 22 OKT: Hutang luar Malaysia berjumlah RM848.2 bilion atau 68.8 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2016 berbanding RM833.7 bilion pada akhir 2015.
Manakala hutang Kerajaan Persekutuan berada pada paras RM655.7 bilion atau 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2016.
Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017, hutang dalam negeri kekal sebagai bahagian terbesar daripada jumlah hutang iaitu sebanyak 95.9 peratus manakala selebihnya daripada pinjaman luar pesisir.
Pada akhir Jun 2016, hutang dalam negeri Kerajaan Persekutuan berjumlah RM628.8 bilion, sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII), menurut laporan itu yang dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2017.
MGS, sebagai instrumen terbesar terbitan Kerajaan Persekutuan, mencatat RM365.9 bilion atau 55.8 peratus daripada jumlah hutang manakala MGII sebanyak RM230 bilion.
“Peratusan MGII kepada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat kepada 35.1 peratus berbanding 21.8 peratus pada 2010, mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa,” demikian menurut Laporan Ekonomi itu.
Sebahagian besar MGS dan MGII dipegang oleh institusi kewangan iaitu sebanyak 27.1 peratus, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (23.1 peratus) dan syarikat insurans (4.9 peratus).
Sebagai langkah pengurusan aliran tunai yang lebih baik, Bil Perbendaharaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia diterbitkan secara berkala dengan tempoh matang 12 bulan dan ke bawah.
Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017, pinjaman luar persisir berjumlah RM26.9 bilion, terdiri daripada pinjaman pasaran dan pinjaman projek.
Daripada jumlah ini, pinjaman pasaran merangkumi 75.3 peratus dan bakinya pinjaman projek. Pinjaman projek diperoleh menerusi sumber dua hala dan pelbagai hala terdahulu, bagi membiayai program khusus dan projek infrastruktur seperti perumahan, pembetungan dan empangan.
Hutang luar Malaysia berjumlah RM848.2 bilion atau 68.8 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2016 berbanding RM833.7 bilion pada akhir 2015.
Sebahagian besar hutang ini terdiri daripada deposit dan pegangan bukan pemastautin ke atas sekuriti hutang berdominasi ringgit sebanyak RM309.6 bilion atau 25.1 peratus daripada KDNK, diikuti hutang sektor swasta sebanyak RM166.7 bilion atau 13.5 peratus daripada KDNK.
Sementara itu, pinjaman luar pesisir oleh sektor awam sebanyak 9.9 peratus daripada KDNK dengan hutang Kerajaan Persekutuan hanya berjumlah 2.0 peratus.
Pinjaman luar pesisir meningkat 0.7 peratus kepada RM466.7 bilion pada akhir Jun 2016, terutama disebabkan oleh terbitan kertas hutang mata wang asing termasuk terbitan Sukuk Global Wakalah berjumlah AS$1.5 bilion pada April 2016.
Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM24.6 bilion disebabkan kesan penilaian serta terbitan pra-pembiayaan bagi penebusan sukuk global US$1.2 bilion yang matang pada Julai 2016 dan kekal rendah pada 5.3 peratus daripada jumlah pinjaman luar pesisir.
Pegangan pelabur asing dalam MGS dan MGII meliputi 34 peratus daripada jumlah kedua-dua instrumen berbanding 31.2 peratus pada akhir 2015.
Sehingga akhir 2015, hutang sektor awam Malaysia berjumlah RM870 bilion atau 75.2 peratus daripada KDNK.
Hutang Kerajaan Persekutuan sebagai komponen terbesar, berjumlah RM630.5 bilion atau 72.5 peratus daripada jumlah hutang sektor awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA