Isnin, 24 Oktober 2016

‘Gula-gula’ ucapan Najib tiada dalam dokumen Bajet 2017

Ahli Parlimen DAP berkata antara pengumuman PM yang tiada dalam dokumen ialah RM340 juta untuk tablet percuma kepada 430,000 guru.
steven-lim
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Mertajam mendakwa sebahagian “gula-gula” yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017, Jumaat lalu tiada dalam dokumen sebenar belanjawan.
Steven Sim berkata perkara itu membimbangkan kerana kerajaan hanya perlu melaksanakan apa terkandung dalam dokumen bajet, bukannya ucapan Najib yang juga menteri kewangan.
Katanya, 2 program penting wanita iaitu ujian mamogram dan vaksinasi HPV tiada dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan tetapi ia disebut pada baris 291 teks dalam ucapan bajet dengan Najib menyebut peruntukan RM30 juta untuk program itu.
“Baris 207 menyebut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membelanjakan RM1 bilion untuk menambah baik mutu jalur lebar seluruh negara, namun Anggaran Perbelanjaan Persekutuan hanya memperuntukkan RM57.5 juta di bawah perbelanjaan pembangunan untuk projek jalur lebar,
“Dalam baris 224, Najib mengumumkan SKMM akan memperuntukkan RM340 juta untuk tablet percuma kepada 430,000 guru. Ini satu lagi ‘program yang hilang’ dalam anggaran perbelanjaan.
“Malah, peruntukan bagi perkhidmatan dan bekalan kepada sekolah rendah dan menengah masing-masing dipotong 82% dan 64%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bajet 2017 memperuntukkan RM260.8 bilion, dengan RM214.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Pengarah Penang Institute itu berkata tiada jaminan “gula-gula” itu akan dilaksanakan kerana kerajaan tidak terikat dengan ucapan bajet, sebaliknya hanya perlu melaksanakan kandungan dalam dokumen seperti Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan dan Laporan Ekonomi.

“Butiran dalam dokumen ini yang akan diwartakan. Perbelanjaan dan perolehan hasil kerajaan untuk tahun kewangan berikut akan berpandukannya. Secara mudah, ucapan bajet menteri kewangan bukanlah bajet.
“Walaupun jika program ini ada tersembunyi atau dikategorikan semula di bawah bahagian lain, ia menunjukkan betapa dokumen bajet kita mengelirukan,” katanya.
“Open Budget Index” yang dikeluarkan International Budget Partnership meletakkan Malaysia pada kedudukan 55 daripada 102 negara. Laporan itu menyimpulkan “kerajaan Malaysia memberikan maklumat bajet yang terhad kepada orang awam”.
“Ucapan Bajet 2017 oleh Najib bukan saja bersifat politik, menyerang pembangkang dan pengkritik kerajaan, tetapi sangat tidak bermutu dan tidak profesional,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA