Rabu, 26 Oktober 2016

Enam ahli PAC tak hadir, pengerusi kata tiada boikot

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin menafikan bahawa beliau sedang berdepan dengan boikot oleh ahli jawatankuasa pembangkang dan BN.
"Tidak ada boikot," kata Hasan kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat PAC hari ini.
Mesyuarat hari ini tidak dihadiri oleh empat daripada lima ahli parlimen pembangkang, dan dua dari BN.
Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir hari ini adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas, Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin tidak hadir kerana beliau berada di Dewan Rakyat bagi mengikuti perbahasan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berhubung kebakaran tragis di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, semalam yang mengorbankan enam nyawa.
Sementara itu, Ahli Parlimen BN yang tidak hadir adalah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir dan Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jeck Seng.
Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Aziz tidak menghadiri mesyuarat PAC sejak selepas laporan 1MDB dibentangkan April lalu.
Begitu juga, dengan Pua, Leong dan Kamarul yang menguzurkan diri sejak itu.
Menurut sumber, Aziz kurang senang dengan tindakan Hasan yang secara unilateral menyunting laporan 1MDB, selepas ia dipersetujui secara kolektif.
Ayat yang dipadamkan daripada laporan itu menyatakan bahawa Bank Negara telah memaklumkan kepada PAC yang Good Star Ltd dimiliki oleh individu yang tidak dikaitkan dengan kumpulan PetroSaudi.
Sejak itu, telah dipastikan bahawa Good Star dimiliki oleh hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low, yang menurut pihak berkuasa Amerika menyelewengkan dana 1MDB.
Syarikat itu menerima AS$1.03 bilion dana 1MDB yang sepatutnya bagi membiayai projek usaha sama dengan PetroSaudi International.
Malaysiakini telah menghubungi Aziz untukmengulas dakwaan ini.
Apabila ditanya mengenai ketidakhadiran Aziz, Hasan seolah-olah kekok untuk memberi jawapannya.
“Nanti kita tengok berapa kali dia tak datang,” katanya.

Hasan juga menyoal pemberita sama ada Aziz pernah berkata beliau memulaukan mesyuarat PAC sebelum berkata dirinya akan mengeluarkan satu kenyataan media.
Mengenai Pua pula, Hasan berkata: "Biasa la dia."
Dalam kenyataannya kemudian, Hasan mengulangi bahawa tidak ada pemulauan.
“Isu boikot tidak timbul kerana wakil pembangkang hadir dalam mesyuarat PAC dan yang tidak hadir memaklumkan sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, korum untuk PAC bersidang adalah tiga orang termasuk pengerusi dan semua mesyuarat yang telah diadakan cukup korum,” katanya.
Menurut Hasan ahli PAC dilantik oleh parlimen dan atas sebab itu diharap mereka menghormati pelantikan yang dibuat sebagai tanggungjawab dan amanah kepada rakyat untuk meneliti dan memastikan setiap perbelanjaan kerajaan benar-benar dibelanjakan demi kepentingan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA