Jumaat, 21 Oktober 2016

Duterte umum Filipina ‘berpisah’ dengan AS

Pengumuman Duterte itu menandakan perubahan arah dasar luar Filipina selepas bekas datuk bandar berusia 71 tahun itu mengambil alih jawatan presiden Jun lalu.
DuterteBEIJING: Presiden Rodrigo Duterte semalam mengumumkan “perpisahan” dengan sekutu kuat Filipina, Amerika Syarikat, sambil mengisytiharkan kerjasama lebih rapat dengan China selepas kedua-dua negara itu bersetuju menyelesaikan secara aman tuntutan melibatkan wilayah Laut China Selatan.
“Di dewan ini, tuan puan, di dewan ini, saya mengisytiharkan perpisahan dengan Amerika Syarikat,” Duterte memberitahu ahli perniagaan China dan Filipina disambut tepukan di sebuah forum di Dewan Besar Rakyat, yang turut dihadiri Naib Perdana Menteri China, Zhang Gaoli.
“Dalam kedua-dua lapangan ketenteraan, mungkin bukan sosial, tetapi juga ekonomi. Amerika sudah tewas.”
Presiden Filipina itu kini dalam rangka lawatan ke Beijing bersama 200 ahli perniagaan.
Usaha Duterte menjalinkan hubungan lebih mesra dengan China diadakan beberapa bulan selepas The Hague memutuskan Beijing tidak ada hak ke atas Laut China Selatan, dalam kes yang dibawa ke mahkamah antarabangsa oleh pentadbiran Manila sebelum ini.
Pengumuman Duterte itu menandakan perubahan arah dasar luar Filipina selepas bekas datuk bandar berusia 71 tahun itu mengambil alih jawatan presiden Jun lalu.
Menteri perusahaannya Ramon Lopez berkata sejumlah AS$13.5 bilion perjanjian perdagangan bakal dimeterai bersama China.
“Saya kini menyelaraskan semula aliran ideologi saya dan mungkin selepas ini saya akan ke Rusia bercakap dengan (Presiden Vladimir) Putin untuk memberitahunya kini ada kami bertiga menentang dunia – China, Filipina dan Rusia.

“Ia satu-satunya jalan yang ada,” kata Duterte dalam ucapannya di Beijing.
Pentadbiran Obama menganggap Manila rakan sekutu penting dalam mengimbangi kebangkitan China di Asia.
Sebelum ini, AS diberikan akses kepada pangkalan tentera Filipina, namun kebenaran itu kini mungkin ditarik balik.
Washington dalam reaksinya berkata ia bingung dengan kenyataan Duterte dan akan menuntut penjelasan ketika kunjungan Daniel Russel, diplomat tertinggi AS bagi rantau Asia Timur dan Pasifik, ke Manila hujung minggu ini.
“Kami tidak jelas kesan daripada apa yang dimaksudkannya.”
Sementara itu, selang beberapa jam selepas ucapan Duterte, pembuat dasar Filipina berkata walaupun integrasi ekonomi Asia sudah lama tertunggak, ia tidak bermakna Filipina berpaling daripada barat.
“Kami akan mengekalkan hubungan dengan barat tetapi kami inginkan integrasi lebih kukuh dengan jiran,” kata Menteri Kewangan Carlos Dominguez dan Menteri Perancangan Ekonomi Ernesto Pernia dalam kenyataan bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA