Isnin, 24 Oktober 2016

Dari mana datangnya 'wajah' DAP sebagai parti Cina?


Oleh SHEIKH OMAR ALI
Konvensyen DAP Johor 2016 selesai dijalankan pada 23 Oktober 2016 baru ini dengan jayanya.Dalam konvensyen tersebut, saya berpeluang memberi respon terhadap ucapan perbahasan delegasi konvensyen.

Antaranya, perbahasan mengenai keperluan mewujudkan kumpulan pemikir bagi merangka strategi mendekati pengundi Melayu.
Sebagai seorang anggota jawatankuasa (AJK) DAP negeri, respon saya seperti berikut:
Melihat DAP sebagai sebuah parti berteraskan kaum Cina adalah terkait dengan persoalan melihat DAP dari lensa Umno-BN.
Hujah saya berbalik kepada garis asas perjuangan DAP yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Seawal penubuhan DAP 1966, perlembagaan parti meletakkan DAP sebagai sebuah parti yang rentas kaum.
DAP bukan milik orang Melayu, Cina, India atau mana-mana bangsa sekalipun. Sejak awal penubuhan, perjuangan DAP adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai 'rumah' untuk seluruh rakyat Malaysia.
Bahkan atas landasan demokrasi sosial, DAP menjadikan rakyat sebagai pusat bagi setiap tindakan dan polisi yang dirangka oleh parti (berpaksikan rakyat).
Ia berlandaskan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia yang memberikan hak saksama kepada setiap warganya.
Namun, timbul persoalan. Dari mana datangnya 'wajah' DAP sebagai parti Cina?
Saya berpendapat, hal ini berlaku akibat reaksi kepada politik perkauman yang diterajui Umno-BN sejak pascamerdeka.
Dasar pecah perintah telah mengheret politik Malaysia menjurus ke arah perkauman. Umno untuk orang Melayu, MCA (Cina) dan MIC (India).
Sebagai reaksi juga, DAP dalam konteks pilihan raya lazimnya berhadapan MCA; bertanding di kawasan majoriti Cina. Lalu jadilah seolah-olah DAP sebagai opsyen kepada orang-orang Cina yang tidak lagi memilih MCA.
Hal ini semakin subur apabila media arus perdana yang dikuasai Umno-BN memainkan peranan memomokkan DAP sebagai parti Cina.
Atas alasan apa sekalipun, saya berpandangan politik atas 'jenama' perkauman ini adalah politik lapuk yang bakal ditelan zaman di mana-mana negara sekalipun pasca abad ke-21 kini.
Pada satu sisi lain, asas perjuangan politik DAP yang sifatnya buta warna ini pula; merupakan politik masa hadapan yang perlu digalas oleh para petugas parti.
Mari kita beralih kepada konteks Johor.
Mutakhir ini, Bangsa Johor merupakan jenama yang kian popular dalam erti kata membina rakyat Johor keseluruhannya tanpa ada sikap membeza-beza.
Bangsa Johor dilihat mampu menjadi penyatu rakyat di negeri ini tanpa mengira apa latar mereka sekalipun.

Rezeki melimpah ruah di negeri ini wajib dinikmati oleh sekalian rakyatnya tanpa sebarang prejudis atau diskriminasi.
Justeru, apa bezanya slogan Malaysia untuk rakyat Malaysia yang menjadi laungan DAP sejak awal penubuhannya dahulu?
Jawapannya ialah; tiada beza!
Oleh itu, saya melihat keperluan untuk menubuhkan kumpulan pemikir untuk menarik sokongan Melayu bagi saya amat relevan dibincangkan dalam wacana strategi parti. Saya ulangi, dalam wacana strategi parti.
Namun secara prinsipnya, latar utama persoalan ini adalah tentang mengukuhkan roh perjuangan DAP sedia ada yang beriltizam untuk berjuang bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.
Dalam hal ini, cabaran besar untuk DAP adalah bagaimana parti rentas kaum ini mampu menepis mantera-mentera jahat Umno-BN dan segala aparatnya yang telah mengheret rakyat sehingga lemas dalam agenda perkauman sempit?
Dengan segala skandal dan salahguna kuasa yang tidak dapat disembunyikan lagi kini, agenda perkauman sempit tajaan Umno-BN semakin jelas digunakan untuk kelangsungan mereka semata-mata.
Justeru, berkhidmat dan berjuang untuk rakyat dari segenap lapisan tanpa membeza-bezakan antara satu sama lain adalah tugas hakiki DAP sepertimana yang dituntut oleh perlembagaan parti sejak awal lagi.
Menyantuni setiap rakyat sebagai seorang warganegara Malaysia yang bermaruah dan berhak mengecapi nikmat kemewahan tanah air ini adalah perjuangan yang tidak pernah gugur bagi setiap pendukung DAP.
Akhir sekali, konvensyen DAP Johor semalam yang fokus ke arah persiapan terhadap segala kemungkinan termasuklah pilihan raya berasingan antara negeri Johor dan persekutuan telah mengangkat nilai “Adil, Bersih dan Solidariti” sebagai asas merealisasikan impian Johor.
Impian Johor yang kami maksudkan ialah, k earah menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang adil dengan kerajaannya yang bersih dan solidariti/persaudaraan yang erat sesama rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA