Khamis, 27 Oktober 2016

Bersih perlu lebih bijak, usah layan provokasi Baju Merah, kata Kadir Jasin

Kadir berkata, Bersih perlu bertindak lebih bijak, berwibawa dan berjiwa besar.
kadir-jasin-bersih-merah
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 perlu lebih bijak dan tidak melayan provokasi gerakan Baju Merah kerana ia adalah gerakan massa yang diterima ramai sekarang, kata Datuk Kadir Jasin.
“Bersih sudah mendapat simpati ramai rakyat Malaysia dan pada peringkat ini, ia perlu lebih magnanimous. Kewibawaan dan kebijaksanaannya harus lebih tinggi.
“Ulangi sahaja mesej perjuangan. Itu lebih baik daripada berkonfrontasi dan cuba menjawab setiap provokasi pihak yang mahu menyekatnya,” kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press itu ketika ditemubual Radio Bangsar Utama, semalam.
Kekecohan tercetus antara penyokong Baju Merah dan Bersih di beberapa lokasi konvoi Bersih 5 sejak 1 Oktober lalu bagi mempromosikan himpunan itu pada 19 November ini.
Pada 1 Oktober lalu, aktivis Bersih dan penyokong Baju Merah yang diketuai Jamal bergelut di Teluk Intan, sementara serangan di Sabak Bernam pada 8 Oktober lalu menyaksikan penyokong Baju Merah dirakam menendang penunggang motosikal Bersih yang melalui kawasan terbabit.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah juga dilihat sering berbalas kenyataan dengan pemimpin gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.
Kadir memuji Bersih 2.0 yang dilihat berjaya menyampaikan mesejnya ke kawasan luar bandar dan pinggir bandar, walaupun tanpa liputan positif media arus perdana.
“Jika melihat gambaran keseluruhan, Bersih sudah diketahui (umum) walaupun liputan media tradisional tidak memihak kepada mereka.
“Mungkin ada penambahbaikan yang boleh dilakukan. Tetapi, hakikat ia sudah sampai ke Teluk Intan, Batu Pahat dan kawasan kampung menunjukkan (gerakan itu) berjaya dalam aspek propaganda dan penyebaran maklumat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA