Jumaat, 28 Oktober 2016

BERSIH kemuka notis kepada polis untuk himpunan 19 Nov

BERSIH hari ini mengemukakan notis kepada pihak polis untuk perhimpunan 19 November, kata pengerusinya, Maria Chin Abdullah.
Ini dilakukan selepas tiga hari, kumpulan penenentangnya yang diketuai oleh Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus mengemukakan notis sendiri untuk perhimpunan berasingan pada tarikh yang sama.
"Kami telah mengemukakan notis kepada Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Brickfields,” katanya.
Dalam notis itu, menurut Maria, BERSIH memaklumkan kepada polis bahawa mereka akan berkumpul berhampiran Dataran Merdeka.
Bagaimanapun, BERSIH masih belum memutuskan lokasi pesertanya akan berkumpul.
Jamal yang menerajui gerakan baju merah, sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah mengemukakan notis untuk berhimpun pada 5 dan 19 November kepada pihak polis.
Mengulas pertembungan tarikh itu, dan kemungkinan polis hanya membenarkan satu perhimpunan pada 19 November memandangkan gerakan baju merah mengemukakan notis lebih awal, Maria berkata pihaknya tidak akan berganjak.
"Kita tidak akan tukar masa, tarikh dan tempat. Kita akan lihat apa polis kata (terlebih dahulu),” katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, keputusan BERSIH berhubung masa dan tempat perhimpunan itu adalah muktamad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA