Sabtu, 22 Oktober 2016

Bersih 5: Bersatu sokong lima tuntutan, mahu himpunan berlansung aman

Anina SaadudinAnina Saadudin
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan gerak kerja dan pembabitkan parti itu dalam himpunan Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 November depan.
Ketua Srikandi Bersatu, Anina Saadudin memaklumkan, kehadiran Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam beberapa ceramah dan Konvoi Bersih 5 sejak dua minggu lalu, telah membuktikan pimpinan parti itu menyokong penuh himpunan Bersih 5.
"Pada asasnya kami menyokong lima tuntutan Bersih kerana Bersih juga menuntut supaya Najib melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.
"Tetapi keputusan untuk membawa ahli parti Pribumi Bersatu dalam himpunan besar pada November depan, secara teknikalnya pimpinan kami, belum dimuktamadkan lagi kerana kita masih belum bermesyuarat mengenai hal ini," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Katanya lagi, walaupun menyokong penuh lima tuntutan Bersih tetapi parti itu mahu himpunan yang akan diadakan kelak dapat dilaksanakan secara aman dikalangan penyokong Bersih.
"Kita dalam Srikandi mahu demontrasi aman dilaksanakan dan Bersih perlu cukup bersih.

"Selagi tidak ada berlaku rusuhan atau adegan tembak menembak atau berparang kita akan sokong tuntutan dan sertai Bersih, saya akan hadir," ujarnya.
Sebagai rekod pada 16 Oktober lalu dalam siri ceramah sempena sambutan setahun Amanah di Shah Alam, Dr Mahathir dalam ucapannya telah menyatakan pendiriannya untuk turut menyertai himpunan Bersih 5 yang akan diadakan kelak.
Lima tuntutan Bersih adalah berkaitan mengadakan pilihan raya bersih, kerajaan bersih, memperkukuhkan Demokrasi Berparlimen,hak untuk membantah dan bersuara dan terakhir memperkasakan Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA