Isnin, 31 Oktober 2016

Berdepan usul digantung parlimen, Lim anggap berani kerana benar

Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng percaya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan selepas didakwa menghina Speker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau bimbang sekiranya digantung sebagai Ahli Parlimen, Lim berkata beliau 'berani kerana benar'.
"Ia satu kenyataan, bukan subjudis. Saya buat sidang media ini kerana nak memberi respon terhadap sidang media dia (Pandikar). Berani kerana benar," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Kerajaan sebelum ini dilapor akan membawa satu usul dalam tempoh terdekat berhubung tindakan Lim yang didakwa tidak menghormati Pandikar.
Lim pada 25 Oktober lalu mendakwa Pandikar mengarahkan beliau keluar daripada Kamar Khas yang bersidang, sebelum sempat membahaskan ucapannya mengenai belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Lim mendakwa Pandikar memberi 'syarahan' mengenai isu subjudis saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, sebelum mereka saling bertekak antara satu sama lain dan Lim diarah keluar daripada sidang itu.
Sebelum keluar dari dewan, Lim juga dilihat berkata kepada Pandikar bahawa anggota dewan dipilih oleh rakyat, manakala jawatan speaker itu dibuat menerusi lantikan.
MP UK juga pernah keluar dewan
Menurut Lim, sebelum ini Pandikar menyebut bahawa tiada wakil rakyat berjalan keluar semasa pembentangan belanjawan di Parlimen di United Kingdom (UK).
Bagaimanapun, Lim mendakwa beliau telah membuat kajian dan mendapati pada pembentangan belanjawan tahun 1981 semasa pentadbiran Margaret Thatcher, ramai anggota parlimen daripada parti konservatif meninggalkan sidang ketika menteri kewangan ketika itu, Geoffrey Howe berucap.
"Adakah Pandikar akan memohon maaf kepada anggota parlimen pembangkang yang meninggalkan dewan ketika ucapan Belanjawan 2017 Datuk Seri Najib Razak setelah diminta keluar oleh Pandikar.
"Atau adakah beliau akan menuduh saya mempersendakan Speaker di luar Parlimen?" soalnya.
Justeru, beliau turut mempersoalkan sama ada Pandikar akan meletakkan jawatan sebagai Speaker bagi mencontohi dewan rakyat di negara demokratik.

Malah, beliau juga mempersoalkan sama ada Pandikar akan membenarkan anggota parlimen pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut menjadi amalan House of Commons UK serta di negara-negara demokratik yang lain.
"Dahulu kita pernah melantik anggota parlimen menjadi Speaker sehinggalah Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1964.
"Adakah Pandikar akan mengiktiraf kejanggalan sistem ini dan meletakkan jawatan sebagai Speaker yang dilantik untuk memberi laluan kepada seorang anggota parlimen demi mengotakan kata-katanya untuk mencontohi bagaimana dewan perwakilan negara demokratik beroperasi?,"soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA