Jumaat, 21 Oktober 2016

Berang dengan Najib, Pakatan Harapan keluar dewan

Wakil rakyat Pakatan Harapan turut mengangkat poster "#Siapa MO1?".
Mo1KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2017 hari ini dicemari kekecohan apabila ahli Parlimen Pakatan Harapan bertindak keluar daripada Dewan Rakyat beramai-ramai, selepas ucapan sinis perdana menteri.
Turut keluar adalah Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tetapi, wakil rakyat PAS dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal kekal dalam dewan.
Datuk Seri Najib Razak pada mulanya menyebut pihak tertentu mendakwa Bajet 2017 sebagai “bikinan sandiwara”.
“Ada kita dengar tuduhan yang Bajet 2017 hanya sandiwara, tanpa ‘substance’ dan kerajaan tidak cukup duit. Ada pemimpin pembangkang kata Malaysia mengharungi ribut ekonomi.
“Saya nak tanya, siapa yang main sandiwara? Siapa yang tiada ‘substance’?” soal ahli Parlimen Pekan itu.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang bertindak mengangkat poster “#Siapa MO1?” dan keluar dari tempat duduk mereka.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia segera meminta mereka berhenti dan kembali ke tempat duduk masing-masing, namun gagal.
“Ahli-ahli yang berhormat, ini pembentangan bajet, duduk. Nanti ada peluang bahas. Kalau tidak minat dengar bajet (dan) dengan tabiat begini, sila keluar,” katanya yang disusuli dengan tindakan keluar dewan oleh kumpulan wakil rakyat Pakatan Harapan.

Najib kemudiannya meneruskan pembentangan Bajet 2017 dengan pantun “Ribut-ribut di Kubang Pasu, angin sepoi dari Pekan, demi negara Barisan Nasional bersatu, kepentingan rakyat kita utamakan”.
Kubang Pasu adalah bekas kawasan Parlimen bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang beliau memimpin negara.
Di luar dewan, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata: “Kami semua keluar. Beliau perlu beritahu kami siapa MO1.”
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berkata, ia lebih kepada ucapan politik dan tiada apa yang penting dalam ucapan Najib itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA