Rabu, 19 Oktober 2016

Belanjawan PAKATAN 2017: Najib digesa letak jawatan Menteri Kewangan

Permintaan pertama Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan (PAKATAN) 2017 ialah menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata PAKATAN berharap ini merupakan belanjawan terakhir Najib sebagai Menteri Kewangan.
Katanya Najib perlu memberikan laluan kepada orang yang lebih arif, cerdik berkaitan dengan kewangan untuk mentadbir negara.

“Skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) jelas menunjukkan kegagalan Perdana Menteri dalam mentadbir urus kewangan dana pelaburan ini apatah lagi dana negara.
“Jarang berlaku, seorang Perdana Menteri yang juga berperanan sebagai seorang Menteri Kewangan,” kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Alternatif Malaysia 2017 bertemakan ‘Pakatan Harapan Menentukan Masa Hadapan’ di Bilik Jawatankuasa 2, di Parlimen, hari ini.
Wan Azizah berkata dunia mengetahui identiti MO1 dan kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terus menghampakan keyakinan pelabur domestik dan juga antarabangsa.
“Identiti MO1 disahkan sebagai YAB Pekan dalam wawancara oleh YB Kota Belud bersama BBC pada 1 September 2016 yang lalu.
“Penjelasan YB Kota Belud yang mengukuhkan kedudukan YAB Pekan sebagai MO1 sekaligus merangkap Menteri Kewangan telah turut menurunkan tahap ekonomi negara kita ke paras yang lebih rendah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA