Sabtu, 22 Oktober 2016

Belanjawan Najib cipta sejarah penuh provokasi politik – Azmin

BANTING, 22 OKT: Pembentangan Belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak penuh dengan elemen provokasi dan politik melampau, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Tanpa memberi tumpuan terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh, Mohamed Azmin berkata Perdana Menteri gagal membuat perancangan secara komprehansif mengenainya.
“Ini bukan Belanjawan yang dibuat secara komprehansif dan ini kali pertama Belanjawan negara dipolitikkan dan kita tidak nampak satu inisiatif bersungguh untuk bantu rakyat.
“Soal rasuah dan penyelewengan tidak disebut dan tidak dikaitkan langsung dalam pembentangan Belanjawan Perdana Menteri.
“Seharusnya Belanjawan ini bukan sekadar merangkumi aspek pertumbuhan sahaja, tetapi ia merangkumi urus tadbir negara yang perlu dipimpin secara bertanggungjawab,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Selangor Agrofest di perkarangan tempat letak kereta Pantai Morib di sini, petang ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2017 yang disifatkan komponen pembangkang sebagai tidak realistik susulan kegagalan urustabir pentadbiran Najib.

Najib dalam pembentangannya juga turut memberi tumpuan terhadap 18 peratus jumlah belanja pembangunan negara.
Bercakap lanjut Mohamed Azmin berkata, jumlah tersebut juga memperlihatkan wujudnya perancangan tidak bertanggungjawab Najib terhadap pembangunan ekonomi negara.
“Ini perancangan tidak bertanggungjawab kerana sekiranya belanja pembangunan itu tidak dtingkatkan, atau disediakan dalam jumlah yang munasabah, mana mungkin boleh kerajaan (Persekutuan) mengusahakan aktiviti ekonomi dalam negara secara efektif,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA