Isnin, 24 Oktober 2016

Bekukan semua kelulusan syarikat konsesi lebuh raya, kata Rafizi

Setiausaha agung PKR berkata, dana yang diperuntukkan boleh digunakan kepada sektor pendidikan dan kesihatan.
rafizi-bajet-highway-1
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menyelar Putrajaya yang membazirkan wang kepada syarikat konsesi lebuh raya apabila sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan menyaksikan penurunan peruntukan dalam Bajet 2017.
Beliau berkata RM3.9 bilion diperuntukkan kepada Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), sambil menambah jumlah itu bersamaan dengan 12% daripada peruntukan bagi perkhidmatan dan bekalan dalam Bajet 2017.
“Saya menggesa kerajaan persekutuan membekukan semua kelulusan kepada syarikat konsesi lebuh raya dan menggunakan dana untuk rakyat.
“Oleh kerana, pembiayaan untuk pendidikan, pendidikan tinggi dan kesihatan, yang penting kepada rakyat, berkurangan dengan ketara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Rafizi berkata perbelanjaan itu tidak adil kerana dana kerajaan kini bergantung kepada pinjaman, GST dan lain-lain cukai.
Ahli Parlimen Pandan itu akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berhubung perkara itu.

“Saya ingin menegaskan esmua kelulusan berhubung konsesi lebuh raya perlu segera dibekukan supaya wang rakyat tidak disia-siakan.”
Dalam pada itu, Rafizi membidas Najib kerana menggesa rakyat Malaysia yang miskin menjadi pemandu Uber.
“Mungkin Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga perlu menjadi pemandu Uber bagi menampung perbelanjaan harian mereka.
“Gaji Najib, elaun dan kos lain yang dibincangkan kerajaan boleh digunakan untuk membantu rakyat.
“Beliau boleh memandu Uber pada waktu malam jika tak buat apa-apa,” kata Rafizi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA