Jumaat, 28 Oktober 2016

Bekas tiga menteri tidak langgar OSA bangkit isu 1MDB

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa tindakan tiga mantan menteri kabinet yang membangkitkan kebimbangan mereka mengenai isu skandal 1MDB di Parlimen baru-baru ini tidak melanggar mana-mana sumpah kerahsiaan.
Kit Siang dipetik berkata, pandangan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mendakwa mereka melanggar sumpah kerahsiaan hanyalah bersifat peribadi.
“Pandikar perlu tahu bahawa meskipun beliau memegang jawatan tertinggi daripada dalam pejabat speaker, beliau sebaliknya bukanlah seorang hakim yang berkuasa dalam mahkamah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan dilapor Roketkini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; dan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hadzlah dirujuk sebagai individu yang didakwa melakukan kesalahan itu.
Pandikar dalam sidang medianya semalam berkata, kritikan lantang tiga bekas pemimpin Barisan Nasional itu akan mendedahkan mereka kepada risiko berdepan tindakan undang-undang mengikut Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Apabila melanggar sumpah kerahsiaan, bermakna (mereka) tidak beretika dan berintegriti,” katanya.
Sebaliknya, menurut Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah, berkata,Pandikar adalah pihak yang patut dilihat sebagai tidak mempunyai integriti kerana gagal memahami kepentingan doktrin pengasingan kuasa antara kuasa eksekutif dan kuasa perundangan.
Kenyataan Pandikar itu juga, menurut Kit Siang, menimbulkan persoalan sama ada Speaker mencadangkan agar Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan terhadap trio berkenaan.
“Entah di mana di dunia ini ada Speaker Parlimen yang mencadangkan kepada eksekutif untuk mengenakan tindakan terhadap anggota Parlimen yang merupakan bekas menteri kabinet ekoran ucapan mereka di Parlimen?” soalnya.

Jelasnya juga, tiga mantan menteri itu dilindungi dengan hak keistimewaan untuk bercakap mengenai apa pun perkara di Parlimen, selain perkara-perkara yang melanggar isu sensitif mengikut Akta Hasutan.
“Daripada melindungi anggota Parlimen daripada sebarang pencabulan dari kuasa eksekutif, beliau sebaliknya seolah-olah menyebelahi eksekutif berbanding anggota Parlimen sehingga mencadangkan supaya eksekutif mengenakan tindakan terhadap mereka,” katanya seperti dipetik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA