Rabu, 26 Oktober 2016

Banyak kejutan dijangka dalam Belanjawan Selangor 2017

Kenyataan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Belanjawan Selangor 2017 yang akan dibentangkan Isnin nanti jauh lebih baik berbanding Kerajaan Persekutuan bukan retorik tetapi mempunyai asas kukuh.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, hal itu ekoran Kerajaan Negeri sentiasa mengawal perbelanjaan mengurus pada kadar rendah dan munasabah.

Katanya, ia sekali gus memberi peluang meningkatkan peruntukan pembangunan program termasuk progam baru yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Sejak beberapa tahun lalu, Kerajaan Negeri amat fokus kepada perumahan dengan hampir setiap tahun kita ada program baru selain menambah baik program sedia ada.
“Belanjawan kali ini ada kejutannya, saya rasa pembangunan untuk perumahan strata yang kemungkinan besar ada satu program khas atau tambah baik program sedia ada,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau bagaimanapun menyarankan rakyat Selangor supaya menantikan pembentangan Belanjawan 2017 yang akan dibentangkan Mohamed Azmin, pada 31 Oktober ini.
Terdahulu, Belanjawan 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan perbelanjaan mengurus RM214.8 bilion berbanding peruntukan pembangunan RM46 bilion.
Sebaliknya, Kerajaan Negeri dalam belanjawan komited membendung setiap sen pembaziran dan ketirisan supaya dapat dimanfaatkan untuk rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA