Isnin, 31 Oktober 2016

Bantah potong dana: Mahasiswa PH serah memorandum kepada MP


Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda
Mahasiswa Pakatan Rakyat hari ini menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Malaysia di Parlimen sebagai membantah pemotongan peruntukan untuk pendidikan tinggi seperti dibentangkan Perdana Menteri, 21 Oktober lalu.
Mereka menggesa supaya Kementerian Pendidikan Tinggi memberi jaminan dan mengisytiharkan bahawa pemotongan peruntukan dibawah tidak akan menjejaskan kadar yuran pengajian dan penginapan.
Wakilnya yang juga Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kementerian terbabit juga perlu memberi jaminan peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti tidak dikurangkan serta aspek penyelenggaraan infrastruktur universiti tidak terbantut.
“Tahun tahun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi telah memberi jaminan bahawa pemotongan peruntukan terhadap universiti tidak akan menjejaskan universiti, namun hakikatnya kelihatan berbeza dengan jaminan yang diberikan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bimbang memandangkan sektor pendidikan tinggi negara telah menghadapi pemotongan peruntukan sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun.
“Pemotongan ini sangat dikhuatiri akan menjejaskan kualiti pendidikan tinggi negara seterusnya secara khusus akan memberi kesan pada generasi anak muda dan mahasiswa,” ujarnya dalam kenyataan bersama Presiden Mahasiswa PKR Malaysia (MKM), Affendy Hasni dan Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti DAPSY, Leong Yu Sheng.

Mereka menyifatkan pendidikan merupakan satu perkara fundamental dalam membina ketamadunan sesebuah negara yang tidak harus dikompromi.
“Falsafah inilah yang menjadi sandaran kepada Mahasiswa Pakatan Harapan bahawa sektor pendidikan merupakan sektor yang perlu diberikan keutamaan dan tidak seharusnya dianak-tirikan dengan pelbagai pemotongan yang tidak bersandarkan kepada realiti universiti-universiti awam,” dipetik daripada kenyataan berkenaan.
Mahasiwa Pakatan Harapan mendapati peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi telah dipotong sebanyak 9.31 peratus berbanding 2016 iaitu sebanyak RM1.24 bilion manakala dana Universiti Awam (UA) juga telah dipotong sebanyak 19.23 peratus iaitu sebanyak RM1.456 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA