Sabtu, 22 Oktober 2016

Bangkit bantah atas kapasiti saya sendiri, akui Mahfuz

Mahfuz  bertindak keluar dewan atas pendirian peribadi bukannya parti. Mahfuz bertindak keluar dewan atas pendirian peribadi bukannya parti.

Datuk Mahfuz Omar satu-satunya Ahli Parlimen Pas yang bertindak protes dengan keluar dari Dewan Rakyat ketika setengah jam terakhir pembentangan Bajet 2017 oleh Najib Razak hari ini.
Menjawab soalan pemberita berhubung reaksinya, beliau berkata, tindakannya adalah atas pendirian peribadi bukannya parti.
"Saya individu, saya bangkit sendiri. Saya bangkit atas kapasiti saya sendiri kerana saya nak menjawab PM (Perdana Menteri).
"PM soal, saya jawab. Ini bukan rancangan saya tanya ustaz jawab, ini PM tanya, MP jawab," ujarnya.
Diasak lagi tentang sikap ahli parlimen Pas lain yang masih mengikuti pembentangan Najib itu, beliau tidak mengetahui tentang hal tersebut.
"Saya pun tidak tahu mereka keluar atau tidak. Saya pun tak nampak. Saya keluar ramai-ramai (dengan MP lain)," ujarnya lagi.
Mengulas pembentangan Bajet 2017 Najib yang turut menyelitkan penghargaan kepada Allahyarham Datuk Haron Din, beliau mempersoalkan jaminan daripada aspek tata kelola ditambah wujudnya gejala kleptokrasi.
"Bagaimana pengurusan dan perbelanjaan kewangan itu nanti dengan dasar kleptokrasi yang diamalkan kerajaan selama ini?

"Ia tidak menjawab persoalan tersebut bila kita lihat wang peruntukan bagi bekalan air di Sabah itu boleh ada dalam almari pejabat seorang pegawai kerajaan!" bidasnya.
Menurut beliau, tambahan kepada BR1M juga disifatkan tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat ketika kos kehidupan semakin meningkat.
"Peruntukan untuk BR1M sudah maksimum seperti yang dijanjikan kerajaan BN. Mungkin berlaku pilihan raya dalam tempoh terdekat," tegasnya.
Selanjutnya, Mahfuz turut menyentuh beberapa aspek lain termasuk peruntukan kepada pemandu teksi dan penoreh getah.
"Bil elektrik yang tinggi ditanggung rakyat. Tambang pengangkutan makin meningkat.
"Sepatutnya syarikat-syarikat pemandu teksi itu dihapuskan. Beri semua permit individu bukan tambah tapi permit syarikat masih dikekalkan.
"Hapuskan semua permit syarikat. Ini sudah tentu tidak memberi makna kepada pemandu teksi.
"Bantuan tiga bulan RM200 untuk pekebun kecil dan penoreh getah juga tidak cukup sepatutnya RM1,000 sebulan," ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA