Ahad, 30 Oktober 2016

Bandar Malaysia atau bandar China, soal bekas duta ke Canada

Diplomat veteran itu memberi amaran China kini semakin rakus di Malaysia meluaskan pengaruhnya mengambil kesempatan skandal 1MDB.
cihna
KUALA LUMPUR: Bandar Malaysia bakal menyaksikan peluasan kuasa ekonomi China ke atas Malaysia, malah projek terbesar di bawah syarikat kontroversi 1MDB itu dilihat menguntungkan Beijing di sebalik kemaraannya yang sudah tidak dapat dibendung lagi di rantau ini, kata seorang bekas duta Malaysia.
Bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Canada, Datuk Dennis Ignatius, menyuarakan kebimbangan itu dalam penulisannya yang diterbitkan FMT semalam.
Menurut Dennis, ia merupakan rentetan daripada sejarah lama kemaraan China dalam menghadapi pesaing politik dan ekonomi, termasuk projek besar Laluan Sutera Baharu bagi mewujudkan rangkaian antarabangsa menghubungkan China dengan 60 ekonomi Asia dan Eropah.
Beliau berkata salah satu dasar China ialah berbaik-baik dengan kerajaan korup dan kuku besi, dan ini dilihat menerusi penglibatan luas dalam ekonomi Myanmar yang diperintah junta tentera.
“Dilihat secara menyeluruh, projek pelaburan yang tersebar luas di rantau itu memberikan gambaran sebuah negara yang tekad menggunakan pengaruh kekayaan dan ekonomi bagi menguasai rantau itu,” kata Dennis, ahli diplomat veteran dengan lebih 3 dekad pengalaman berkhidmat di beberapa negara termasuk China, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Bandar Malaysia ‘ibu negara’ serantau China
Dennis menganggap di antara pelaburan China yang paling memberikan kesan ialah Bandar Malaysia, yang memainkan peranan sebagai ibu negeri serantau bagi China.
Menurutnya, projek kelolaan 1MDB yang memakan belanja 4 kali ganda membina Putrajaya, bukan sahaja akan mengganggu pasaran hartanah, tetapi juga meningkatkan masalah kesesakan di Kuala Lumpur di samping menyaksikan kebanjiran beribu-ribu rakyat tanah besar China.
“Sudah tentu kebanyakan ruang rumah dan pejabat di Bandar Malaysia akan dimiliki warga China, yang kewujudan mereka sudah pun bertambah di pasaran hartanah.
“Secara keseluruhannya, ia sebuah projek kroni tidak masuk akal bagi menguntungkan kroni dalam dan luar negara dengan memangsakan rakyat Malaysia. Ia mengutamakan kepentingan China lebih daripada Malaysia,” kata Dennis.
Bandar Malaysia bakal meliputi kawasan seluas 196 hektar di Sungai Besi, yang ketika ini pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, dan bakal dihubungkan dengan projek kembarnya, Tun Razak Exchange. Ia termasuk ruang pejabat dan perniagaan, serta hampir 30,000 unit kediaman.
Dennis berkata Malaysia kini lebih terdedah kepada kerakusan China berikutan skandal 1MDB, dan boleh dianggap “mahkota” dalam agenda peluasan kuasa serantau China.
Ia dapat dilihat menerusi pemberian pelbagai kontrak besar dan tukar milik aset negara kepada China, sebagai balasan dana China bagi menyelamatkan 1MDB, katanya.
“China Railway dianugerahkan projek landasan kembar elektrik Gemas-Johor Bahru bernilai RM7.13 bilion, projek landasan kereta api Timur Laut bernilai RM55 bilion, dan hampir pasti menerima projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM60 bilion,” kata Dennis.
Ini ditambah dengan projek sedia ada yang sudah pun diserahkan kepada China seperti Melaka Gateway bernilai RM43 bilion di samping projek utama jambatan kedua Pulau Pinang.
“Adakah terdapat perjanjian sulit bagi memastikan China menerima semua projek infrastruktur mega di Malaysia?” soal beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA