Ahad, 30 Oktober 2016

Bandar Malaysia 100% bukan milik China jika ada polisi untuk rakyat

Bagaimanapun hartanah itu tetap dikawal China memandangkan syarikat mereka pemaju projek itu, kata pakar ekonomi
Prof-Dr-Barjoyai-Bardai
PETALING JAYA: Hartanah Bandar Malaysia tidak akan 100% menjadi milik China sekiranya ada polisi penjualan khusus untuk rakyat, kata pakar ekonomi.
Pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai bagaimanapun berkata hartanah itu tetap dikawal China memandangkan syarikat mereka pemaju projek itu.
“Sebenarnya ini merupakan satu fenomena global,” jelas Barjoyai kepada FMT. “Banyak lagi projek di Malaysia yang dibangunkan bersama pemaju China dan kontraktornya pemaju China.”
Menurut Barjoyai, rakyat boleh merujuk pengalaman projek pembangunan pemaju China yang agresif dijalankan di benua Afrika.
“Sehingga ada kenyataan tidak rasmi yang mendakwa China cuba menghantar 50 juta warganya ke Afrika!” kata Barjoyai, yang mengingatkan manfaat sesuatu projek antarabangsa bergantung kepada polisi pembangunan yang ditetapkan kerajaan.
“Di Rwanda, China dibolehkan bina bangunan untuk sebuah kementerian kerajaan Rwanda secara percuma, dan China selenggara bangunan itu selama 10 tahun misalnya.
“Adakah semestinya buruk bergantung kepada bagaimana kita menentukan polisi pembangunan itu,” kata Barjoyai.
Beliau mengulas kebimbangan bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Datuk Dennis Ignatius yang berkata projek Bandar Malaysia bakal menyaksikan peluasan kuasa ekonomi China di Malaysia.

Menurutnya, projek terbesar 1Malaysia Development Berhad itu dilihat lebih menguntungkan Beijing, disebalik kemaraan kuasa memuncul itu yang tidak dapat dibendung lagi di rantau ini.
Barjoyai berpendapat sekiranya Bandar Malaysia tidak dimajukan oleh pemaju China, ia akan dimajukan pemaju Cina tempatan.
“Jadi sebenarnya tidak ada beza,” kata Barjoyai.
“Cuma bezanya kita melihat pembabitan sebuah negara lain iaitu China, yang walaupun dianggap mengamalkan kapitalisme tapi masih dikawal kerajaan.
“Maknanya Beijing mempunyai banyak suara ataupun kuasa dalam Bandar Malaysia.”
Barjoyai berpendapat pembabitan China dalam projek pembangunan mungkin mempunyai percaturan politik antarabangsa tertentu.
“Ini merupakan strategi untuk mengimbangi kuasa ekonomi dunia yang dikawal oleh Amerika Syarikat misalnya,” jelas Barjoyai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA