Sabtu, 22 Oktober 2016

Bajet didakwa tidak endahkan keperluan Cina, India

Mereka mahu bahagian yang adil, bukan umpan pilihan raya, kata ahli Parlimen DAP
Chinese, IndiansPETALING JAYA: Dua ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima masyarakat Cina dan India dalam Bajet 2017.
“Belanjawan itu tidak melakukan yang secukupnya untuk masyarakat Cina,” kata Nga Kor Ming (DAP-Taiping) kepada FMT. “Apa yang masyarakat Cina mahu adalah keadilan dan peluang sama rata.”
Dalam belanjawan yang dibentangkan di Parlimen semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan mahu peruntukkan RM50 juta untuk pembangunan kampung baru Cina, RM20 juta untuk pinjaman mikro-kredit di bawah seliaan Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia dan RM20 juta untuk pinjaman kepada penjaja Cina.
Kor Ming menepis peruntukan itu sebagai “umpan” menarik sokongan pengundi Cina dan mendakwa Najib tidak menghormati mereka.
Apa yang masyarakat Cina mahu, jelasnya, adalah “bahagian yang adil” daripada belanjawan itu, sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada pembangunan negara.
Katanya peruntukan yang besar wajar diberi kepada pendidikan Cina. “Pendidikan merupakan pelaburan terbaik ke arah membangunkan modal insan,” tambahnya.
Katanya Putrajaya perlu melihat contoh Pulau Pinang dan Selangor, yang memperuntukkan RM500,000 setiap tahun kepada sekolah menengah Cina.
Sementara itu, M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) menyifatkan peruntukan RM10 juta kepada sekolah Tamil cubaan Najib untuk “menyemai hubungan istimewa dengan masyarakat India” sekiranya mereka mengundi Barisan Nasional.
Belajar daripada sejarah, Kulasegaran berkata janji itu cuma “sementara”.
Jelasnya 4 tahun lalu kerajaan peruntukkan RM50 juta untuk latihan kemahiran 3,000 belia India.
“Tetapi sasaran tak tercapai,” katanya. “Tak sampai 1,000 orang pun dilatih.”
Beliau menyoal Menteri Sumber Manusia berhubung perkara itu dan jawapan yang diterima adalah ia sedang diusahakan.

“Enak didengar,” katanya, “tetapi tidak tangani keperluan mereka yang memerlukan.”
Beliau menyeru penubuhan suatu unit untuk memantau latihan seperti itu. “Pastikan unit itu menjawab kepada Parlimen.”
Beliau menggesa orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan janji seperti itu. “Janji yang dibuat sebelum ini tidak dilaksanakan sepenuhnya. Jadi di masa depan pun belum tentu.”
Bendahari Agung MIC S Vell Paari bagaimanapun mengalu-alukan cadangan Najib, dengan berkata kerajaan bersungguh menunaikan janji kepada rakyat.
“Semua inisiatif dalam Bajet 2017 membuktikan kerajaan tidak pernah ketepikan masyarakat India,” katanya.
Tambahnya belanjawan ini “paling inklusif” yang pernah dihasilkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA