Isnin, 24 Oktober 2016

Bajet berhemah atau bajet berhelah?

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Belanjawan 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu digelar sebagai belanjawan berhelah dan bukannya bajet berhemat apabila ia lebih bersifat menggula-gulakan rakyat bagi memancing undi dalam pilihan raya akan datang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata langkah itu akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara sendiri.

“Mungkinkah negara kita sebenarnya bukan sebuah negara ‘berpendapatan sederhana tinggi’ tetapi hakikatnya adalah sebuah negara ‘berkorupsi rasuah tinggi’? Mungkinkah bajet yang dibentangkan ini bukanlah bajet berhemah tetapi bajet berhelah, helah sana dan helah sini?
“Ini kerana, hampir kesemua langkah bajet yang dikemukakan kelihatan bersifat gula-gula untuk rakyat. Jangan sesekali kita terlupa mati semut kerana gula, mati ikan kerana umpan.
“Akhirnya, yang akan menanggung beban, yang akan berhempas pulas membayar cukai, yang disaran berjimat cermat, yang akan mengikat perut, yang akan bergolok-gadai, meminjam, menggali dan menutup lubang hutang negara menggunung, yang akan dipaksa membayar GST adalah rakyat,” katanya.
Azizah berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Jelasnya, saranan Najib yang meminta supaya rakyat berbelanja dengan berjimat cermat dan hanya makan di kedai mamak serta menjadi pemandu Uber untuk menambah pendapatan adalah bukti kerajaan sudah mula menagih pengorbanan rakyat di atas kecuaian mereka menguruskan ekonomi negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA