Ahad, 23 Oktober 2016

Bajet 2017 tunjukkan pekerja swasta dianaktiri

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melahirkan kekecewaan berhubung pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.
Ini kerana menurut Setiausaha Agungnya, N Gopal Krishnam, pembentangan bajet kali ini tidak memberi faedah kepada pekerja sektor swasta di negara ini.
"Kami berpendapat kerajaan tidak mengendahkan isu-isu berkaitan pekerja swasta.
"Antaranya isu kenaikan kadar gaji minima kepada RM1,200 bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) sebanyak RM300 kepada pekerja swasta," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.
Katanya lagi, kerajaan tidak sepatutnya menganaktirikan pekerja swasta memandangkan pekerja di sektor ini turut menyumbang terhadap ekonomi negara.
"Sumbangan pekerja-pekerja sektor swasta amat penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara dan mereka tidak harus diabaikan," tegasnya.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, tindakan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak akan memberi impak buruk terhadap harga makanan di negara ini.
Katanya lagi, tinjauan pihaknya juga mendapati sudah ada peniaga yang berani menyorokkkan stok minyak masak daripada terus menjualkannya di pasaran.
"Kami tidak menyokong sebarang kenaikan terhadap harga barangan makanan kerana tindakan kenaikan harga minyak pada bulan depan.
"Segala pemberian dan peningkatan bayaran bantuan rakyat tidak akan memberi sebarang makna sekiranya harga barangan naik secara mendadak," katanya lagi.
Harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan.

Ia berikutan pemansuhan subsidi oleh kerajaan di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini.
Harga minyak masak akan meningkat sebanyak RM0.40 sen bagi sekilo dan RM1.90 bagi 5kg akan meningkatkan semua harga barangan.
Menurutnya, kenaikkan harga barangan boleh menjurus kepada pelbagai masalah dan menyukarkan kehidupan isi rumah dan golongan berpendapatan rendah bagi membiayai kos hidup.
"Lebih-lebih lagi dengan kadar inflasi negara yang agak tinggi dengan kenaikan harga petrol dan GST.
"Pengumuman kenaikan harga minyak telah menyebabkan ramai pembekal telah mengurangkan penjualan minyak masak di pasaraya," ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA