Jumaat, 21 Oktober 2016

Bajet 2017: Tidak keluar dewan, Pas dalih bantah secara ilmiah

 Ahli Parlimen dari barisan pembangkang bertindak protes dengan keluar dari Dewan Rakyat tetapi tidak dilakukan ahli parlimen dari Pas.- Foto Malaysia Dateline Wan Zahari Wan Saleh Ahli Parlimen dari barisan pembangkang bertindak protes dengan keluar dari Dewan Rakyat tetapi tidak dilakukan ahli parlimen dari Pas.

Setengah jam sebelum berakhir pembentangan Bajet 2017 oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dilihat kerap menyindir lawannya, Ahli Parlimen dari barisan pembangkang bertindak protes dengan keluar dari Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, pemimpin Pas tidak berbuat demikian kecuali Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sehingga Najib yang juga Menteri Kewangan mengucapkan penghargaan kepada mereka kerana masih berada di dalam dewan.
Menurut Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan keengganan Pas untuk berbuat demikian kerana bantahan boleh dilakukan melalui perbahasan secara ilmiah.
"Pas mengambil langkah berbeza dengan pihak lain dalam memperlihatkan sikap kita terhadap Bajet 2017 dan YAB PM yang membentang bajet pada hari ini.
"Ada perkara yang kita tidak setuju dalam kandungan bajet namun cara kita ialah dengan mengemukakan pandangan dan hujjah bantah secara ilmiah dalam perbahasan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat turut menyifatkan terdapat perkara positif dalam pembentangan belanjawan tersebut.
"Malah peraturan di Dewan Rakyat ini, jika kita tidak bersetuju pun dengan bajet, kita boleh memilih mengundi untuk menolak dalam sessi pengundian," tegasnya lagi.
Sikap Pas terkini yang bercanggah dengan pendirian parti pembangkang lain menguatkan tanggapan banyak pihak bahawa parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mengamalkan pendekatan politik berbaik-baik dengan Umno-BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA