Sabtu, 22 Oktober 2016

Bajet 2017 tak realistik, kata Muhyiddin

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini sebagai tidak realistik dan gagal menangani isu teras mengenai pendapatan negara yang berkurangan.
"Rakyat diberi 'gua-gula' melalui tawaran tertentu tetapi pada hakikatnya kerajaan tidak mempunyai dana.
"Aliran tunai juga adalah beban dan itu tidak diterangkan," kata Muhyiddin sebagai respons kepada bajet pertama yang dibentangkan selepas pemecatannya sebagai bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.
Berdasarkan pengalaman beliau dalam kerajaan, Muhyiddin berkata ia adalah amalan biasa untuk mengumumkan peruntukan lebih besar daripada apa yang sebenarnya disalurkan kepada kementerian.
"Saya percaya ini berlaku kerana ia adalah jelas bahawa kerajaan tidak mampu menanggung sebahagian besar beban dan perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas keluar dewan bersama-sama ahli parlimen Pakatan Harapan
"Saya tidak berpuas hati kerana apa yang dibentangkan tidak menggambarkan keadaan kewangan sebenar negara. Ia kelihatan manis tetapi sebenarnya pahit," katanya.
Bekas menteri Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang kini mengetuai parti berdaftar baru Parti Warisan Sabah juga berkata tiada apa yang baru dalam bajet berkenaan.
"Apa yang kita perlukan adalah peluang pekerjaan.
"Bagaimana kamu buat itu? Adakah dengan beri BR1M, atau dengan mewujudkan industri baru?" kata Shafie yang bagaimanapun mendengar ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sehingga tamat.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pula berkata parti itu mempunyai respons yang bercampur-campur terhadap bajet berkenaan.
Antara lain, beliau berkata PAS mengalu-alukan lebih banyak peruntukan untuk pembangunan luar bandar tetapi pada masa yang sama mempersoalkan pemotongan untuk pembiayaan bagi pendidikan tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA